2,600 Benih Ketam Bakau IPMB UMS Dilepaskan Di Tasik Sitompok

2,600 Benih Ketam Bakau IPMB UMS Dilepaskan Di Tasik Sitompok

0
SHARE
Benih ketam bakau dilepaskan di Tasik Sitompok Kuala Penyu...

KUALA PENYU, SABAH – Sebanyak 2,600 ekor benih ketam bakau dilepaskan di Tasik Sitompok, Kuala Penyu, baru-baru ini.

Program kerjasama antara Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Jabatan Perikanan Sabah itu bertujuan menambah stok perikanan dan hidupan air di tasik berkenaan.

Menurut kenyataan IPMB, benih ketam bakau yang dilepaskan adalah daripada spesies Scylla tranquebarica yang dihasilkan di Hatceri Krustasia institut berkenaan.

“Spesies ketam bakau ini dipilih kerana ia merupakan spesies ketam bakau yang dominan di perairan Sabah…

“Benih ketam yang dilepaskan bersaiz diantara 5 mm hingga 25 mm lebar karapas dan berumur dalam 8 minggu selepas penetasan di Hatceri Krustasia,” demikian menurut kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan, hasil kajian penyelidik UMS mendapati bahawa hasil tangkapan ketam bakau di perairan Sabah kini semakin berkurangan.

“Aktiviti akuakultur menggunakan benih yang dihasilkan di pusat penetasan adalah amat penting untuk terus membangunkan industri penghasilan ketam bakau pada masa hadapan.

“Pada masa sama, ia bagi memulihara stok ketam bakau bagi memenuhi permintaan tempatan dan luar negara…

“Sehingga kini, bekalan ketam bakau bergantung hampir sepenuhnya daripada  penangkapan stok liar ketam  yang diperolehi daripada habitat semula jadi,” ujar kenyataan itu lagi.

Program tersebut disempurnakan Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perikanan Sabah, Azhar Kassim.

Turut hadir, Pengurus Hatceri Krustasia IPMB UMS, Prof. Madya Dr. Annita Yong Seok Kian.