KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 18 kes difteria dilaporkan untuk tempoh 31 minggu tahun ini.
Berdasarkan laporan yang diterima sehingga 5 Ogos lalu, terdapat tiga kes kematian dilaporkan walaupun sudah diberikan rawatan anti-toksin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Norhisham Abdullah dalam kenyataan media menjelaskan, jumlah ini lebih rendah berbanding dengan tempoh sama tahun lalu yang membabitkan 23 kes dengan lima kematian.
“Tahun lalu, sebanyak tiga kes difteria membabitkan bukan warga negara dilaporkan dan dua daripadanya meninggal dunia. Untuk tahun ini, jumlahnya lebih rendah kerana hanya satu kematian dilaporkan.
“Kes kematian tahun ini membabitkan seorang kanak-kanak bukan warga negara yang dilaporkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Kanak-kanak ini tidak mendapat imunisasi difteria yang lengkap mengikut umurnya. Beliau mula mengalami demam, batuk, sakit tekak dan muntah sejak 18 Julai lalu.
“Hospital Duchess of Kent, Sandakan yang merawat kanak-kanak itu pada 21 Julai lalu mendapati terdapat selaput putih di tekaknya. Ujian kultur kali kedua ke atas swab tekak ke atas kes ini mendapati ia positif bakteria Corynebacterium Diphtheria,” katanya.
Norhisham berkata, bagi kes berkenaan, kanak-kanak itu diberikan 10 vial anti-toksin difteria sebagai rawatan awal termasuk pemberian antibiotik. Bagaimanapun kanak-kanak itu meninggal dunia pada 26 Julai.
Sehubungan itu, Pusat Kesihatan Daerah Sandakan, membuka bilik gerakan bagi memantau dan menyelaras aktiviti pencegahan dan kawalan yang dilaksanakan.
Bakteria Corynebacterium Diphtheria itu disebarkan melalui titisan cecair pernafasan dan menjangkiti tekak. Ia menghasilkan toksin yang menyebabkan keradangan di sekitar tekak dan bengkak leher yang boleh menyebabkan pesakit sukar bernafas.
Toksin itu juga boleh menyerap ke dalam darah, melumpuhkan saraf dan menyebabkan keradangan jantung (miokarditis).
“KKM ingin menegaskan bahawa imunisasi difteria yang lengkap mampu mencegah jangkitan bakteria ini. Sekiranya dijangkiti setelah mendapat pelalian lengkap, gejala yang dialami adalah ringan dan tiada komplikasi serius.
“Ibu bapa dan masyarakat diseru untuk memastikan semua anak-anak diberikan imunisasi lengkap. Imunisasi difteria terkandung dalam vaksin lima serangkai yang diberikan kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima dan 18 bulan.
“Dos tambahan selanjutnya diberi pada umur mereka tujuh tahun semasa mereka di sekolah. Imunisasi vaksin lima serangkai ini boleh diperoleh di hospital kerajaan dan swasta. Ibu bapa juga disarankan untuk membawa anak mereka segera mendapatkan rawatan awal sekiranya tidak sihat,” katanya.