KOTA KINABALU, SABAH – Kerja menaiktaraf Taman Tun Fuad Stephens Bukit Padang oleh pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dijangka siap pada tahun 2024.
Pengarahnya, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, salah satu dari komponen Projek Pembangunan Taman Botani Sabah itu dilaksanakan melalui peruntukan yang telah diluluskan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, lantikan kontraktor bermula Julai 2022 dan kerja-kerja di tapak mengambil masa dua (2) tahun.
“Ini termasuklah menaiktaraf kemudahan lain seperti pembinaan plaza, trek pejalan kaki, platform atas air, tandas awam, Pusat Botani dan lain-lain kemudahan di sekitar kawasan tasik Taman Tun Fuad Stephens Bukit Padang.
“DBKK juga akan meningkatkan tahap keselamatan dengan memasang dinding adang sementara di kawasan yang ditutup kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noorliza berkata kerja-kerja pembaikan keselamatan kepada pengguna taman keupayaan menggunakan peruntukan sedia ada akan terus dijalankan.
“Para pengunjung dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan berhati-hati apabila menggunakan kemudahan awam serta mengambil perhatian kepada notis yang disediakan…
“Segala kesulitan disebabkan oleh perkara ini adalah amat dikesali,” tambahnya.