KUNAK, SABAH – Perpaduan menjadi wadah membangkitkan semangat kecintaan warga Lormalong kepada negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif berkata, dengan perpaduan yang kuat masyarakat mampu menzahirkan semangat patriotik melalui penganjuran program-program bersifat kenegaraan.
“Terima kasih kepada Jabatan Penerangan (JaPen) kerana telah membawa Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) sampai ke daerah Kunak dan sudah tentu penduduk daerah kunak terutama di Kampung Lormalong sangat bersemangat dan teruja menyambut konvoi.
“Ini menandakan betapa warga Lormalong sangat mencintai negara dan bersyukur atas nikmat merdeka yang kita miliki.
“Selain mengibarkan Jalur Gemilang di setiap agensi dan rumah-rumah, pelbagai lagi program telah kita atur di sini untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan juga menanam rasa cinta kepada negara dalam setiap hati masyarakat.
“Program-program tersebut antaranya adalah persembahan dan pertandingan lagu patriotik, mungkin juga pertandingan baju kreatif, persembahan sajak kanak-kanak dan juga dewasa selain perbarisan sempena menyambut Hari Kebangsaan yang akan dirayakan pada 31 Ogos nanti.
“Harapan kepada KMJG, sudah tentu program seumpama ini perlu diadakan bukan sahaja setahun sekali tetapi lebih kerap kerana membawa satu wadah kecintaan kepada negara yang sangat memberi impak tinggi,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2024 di Dewan Terbuka Kampung Lormalong, pada Ahad.
Menurut Norazlinah, perpaduan jitu penduduk Kampung Lormalong telah melahirkan suasana penuh meriah sempena Bulan Kebangsaan.
“Suasana yang sangat mengujakan, seperti saya bagitahu tadi, sebanyak 6,000 Jalur Gemilang dan bendera Sabah telah dikibarkan sebagai satu tanda semangat cintakan negara di kampung ini dan Lormalong tidak pernah gagal menunjukkan semangat perpaduan mereka.
“6,000 bendera yang dikibarkan ini menjadi satu tanda betapa kecintaan penduduk Kampung Lormalong kepada negara itu sangat tinggi, semangat perpaduan di kalangan mereka menjadi satu bukti kepada aspirasi yang sangat besar bukan sahaja sebagai penduduk kampung tapi sebagai warga negara yang merdeka,” katanya.
Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah merangkap Ketua Rombongan Konvoi KMJG, Jainisah Mohd Noor, Penolong Pegawai Daerah Kunak (Pembangunan), Rubert Salimon serta Penolong Pegawai Daerah Kunak (Pentadbiran), Kenal Salim. — JABATAN PENERANGAN SABAH






