6,000 Kibaran Jalur Gemilang, Bendera Sabah Sambut Ketibaan Konvoi KMJG Di Lormalong

6,000 Kibaran Jalur Gemilang, Bendera Sabah Sambut Ketibaan Konvoi KMJG Di Lormalong

0
SHARE
Kmjg
Penduduk kampung bersama menggelorakan sambutan Bulan Kebangsaan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KUNAK, SABAH ; Sebanyak 6,000 kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah menyambut ketibaan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) di Kampung Lormalong.

Peserta konvoi KMJG menjadikan daerah Kunak destinasi ke-18 perjalanan disambut meriah oleh 500 penduduk kampung yang hadir sambil mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sempena program Konvoi KMJG Peringkat Daerah Kunak di Dewan Terbuka Kg. Lormalong pada Ahad.

Menurut Ketua Kampung, Shardi Said, 46, semua bendera yang dikibarkan adalah hasil inisiatif penduduk kampung sendiri yang bersama-sama mengeluarkan dana demi menunjukkan semangat kecintaan kepada negara.

“Komuniti di sini telah membuat persediaan awal bagi menyambut Bulan Kebangsaan bermula Julai, dengan semangat perpaduan dan kerjasama bermula satu lorong akhirnya hari ini, enam lorong di setiap jalan kita lihat kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah.

“Sebanyak 6,000 bendera kita kumpulkan untuk kita hias dengan mengibarkannya di setiap rumah dan jalan bermula dari simpang masuk kampung sehinggalah setiap lorong iaitu sekitar empat kilometer.

“Semua bendera yang ada disini kami usahakan sendiri, penduduk kampung masing-masing mengeluarkan duit untuk membeli yang mana setiap satu rumah kita war-warkan supaya menyediakan 10 atau 20 bendera mengikut kemampuan.

“Kita tiada paksaan tapi syukur dengan kesedaran dan semangat cintakan negara yang ada dalam kampung ini tentang kemerdekaan, kami tiada masalah tentang itu,” ujarnya.

Shardi memaklumkan pihaknya juga menggunakan sebahagian bendera yang disimpan daripada program-program sebelum ini dan berharap dapat mengibarkan 10,000 lagi bendera pada tahun hadapan sempena Bulan Kebangsaan. — JABATAN PENERANGAN SABAH