PENAMPANG, SABAH – Sebanyak 11 jenis sukan tradisi bakal dipertandingkan sempena Perayaan Pesta Kaamatan 2017 pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Penampang.
Antaranya ialah gusti tangan (mipulos), melastik (momolositik), tumbuk padi (tumutu), tarik tali (migazat dukug), menyumpit (monopuk), mengangkat padi (mamagandal), berjalan menggunakan galah berkaki (rampanau), terompak gergasi, menjerat kerbau dengan tali (monungkava), menyalakan api (mobpiri magapui), dan membujak (manandus).
Pengerusi Lembaga Sukan Negeri Sabah, Datuk Louis Rampas berkata melalui penganjuran sukan berkenaan, ia dapat memelihara, mempromosi dan mempopularkan kembali sesetengah jenis sukan yang sudah tidak lagi dimainkan mahupun dipertandingkan pada masa ini.
“Orang ramai dijemput untuk menyertai dan memeriahkan lagi acara yang bakal berlangsung pada 30 hingga 31 Mei ini secara percuma.
“Setiap pemenang tempat pertama hingga keempat dalam setiap jenis sukan yang dipertandingkan bakal menerima hadiah wang tunai, barangan serta sijil penyertaan,” jelasnya.
Beliau yang juga Penaung Jawatankuasa Pelaksana Sukan Tradisi berkata demikian dalam satu Sidang Media Sukan Tradisi di Ibu Pejabat Lembaga Sukan Negeri Sabah, kelmarin.
Katanya, majlis perasmian pembukaan sukan berkenaan akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah Awang Damit Ag Anak, Pengurus Besar Lembaga Sukan Negeri Sabah Penyuki Matta dan wakil KDCA merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pelaksana Sukan Tradisi Dr Mary Gambidau.
– UtusanBorneo