Dr Joachim Gagal Uruskan Kundasang – Lajim

Dr Joachim Gagal Uruskan Kundasang – Lajim

0
SHARE

RANAU, SABAH – ADUN Kundasang, Datuk Dr Joachim Gunsalam telah gagal dalam kedudukannya sebagai wakil rakyat di sana kata Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah, Datuk Seri Lajim Hj Ukin.

 “Kawasan pekan Kundasang tidak lagi kelihatan seperti sebuah pekan. Jalan-jalan di sana penuh dengan lubang yang tidak pernah diturap semula. Susunan kedai dan bangunan tidak teratur apabila YB di sana adalah seorang Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan. Beliau gagal membawa perubahan kepada Kundasang.

 “Pasar dan gerai dibina dalam keadaan tidak kemas dan paling teruk ialah pasar ayam yang terletak di pekan itu sendiri di mana banyak lalat mendiami kawasan itu. Perkara seperti ini pun tidak dapat ditangani oleh wakil rakyat di Kundasang,” katanya.

Lajim berkata Ranau dan Kundasang mempunyai potensi tinggi untuk dibangunkan kerana terletak di persekitaran Gunung Kinabalu, yang menjadi tarikan utama pelancong, malangnya kawasan itu tidak diuruskan dengan betul oleh pemimpin di sana.

“Saya datang ke Kundasang dan melihat banyak gerai baharu didirikan tetapi malangnya kawasan berkenaan tidak diselenggara dengan baik, di mana tanah di kawasan itu berlumpur. Mereka sepatutnya menurap tapak itu sebelum mendirikan gerai,” katanya.

Beliau berkata rujukan kepada Kundasang adalah bayangan kepada isu lebih besar, di mana kerajaan Barisan Nasional (BN) berkuasa selama 24 tahun, tetapi perkara kecil seperti situasi di Kundasang tidak ditangani dengan cekap.

“Maka bagaimana BN menguruskan gambaran lebih besar, iaitu Sabah,” tambah katanya.

Lajim yang juga ADUN Klias berkata demikian ketika merasmikan Pesta Kaamatan Parti Harapan Rakyat Sabah Peringkat Negeri 2017 yang diadakan di Lohan Rest House pada Ahad lalu.

Berkenaan dengan sambutan itu, beliau berkata, Pesta Kaamatan adalah perayaan utama yang paling dicintai oleh rakyat di Sabah, di mana ia disambut oleh rakyat dari pelbagai latar belakang etnik mereka.

– HarianEkspress