Australia Negara Pertama Larang Kanak-Kanak Guna Media Sosial

Australia Negara Pertama Larang Kanak-Kanak Guna Media Sosial

0
SHARE
Australia
Sekadar gambar hiasan

KOTA KINABALU, SABAH – Kanak-kanak dan remaja di Australia akan dilarang menggunakan media sosial mulai akhir tahun hadapan selepas undang-undang yang pertama sepertinya di dunia diluluskan pada Khamis.

Ini bermakna sesiapa yang berumur di bawah 16 tahun akan disekat daripada menggunakan platform termasuk TikTok, Instagram, Snapchat dan Facebook.

Kerajaan dan pembangkang negara Australia pada hari akhir persidangan bersependapat ianya diperlukan bagi melindungi kesihatan mental dan kesejahteraan kanak-kanak.

ABC News melaporkan proses pengundian lewat malam itu menyaksikan kerajaan Australia berjaya menyelesaikan sebahagian besar agenda perundangannya.

Di bawah undang-undang itu, syarikat media sosial boleh didenda sehingga RM144 juta jika gagal mengambil “langkah yang munasabah” untuk menghadkan pengguna berusia 16 tahun ke bawah daripada platform mereka.

Walau bagaimanapun, tiada penalti bagi golongan belia atau ibu bapa yang melanggar peraturan itu.

Namun, syarikat media sosial tidak dapat memaksa pengguna untuk memberikan maklumat pengenalan diri kerajaan, termasuk ID Digital, bagi tujuan menilai umur mereka.