Kerajaan Sabah Laksanakan Kuota Bumiputera 30 Peratus Dalam Sektor Perumahan Swasta

Kerajaan Sabah Laksanakan Kuota Bumiputera 30 Peratus Dalam Sektor Perumahan Swasta

0
SHARE
Joachim
Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah akan melaksanakan dasar baharu 30 pereatus kuota bumiputera dalam sektor perumahan swasta bermula 1 Disember ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kerajaan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata penambahbaikan kepada dasar telah dibut bagi memastikan ia mendatangkan manfaat optimum.

“Kuota 30 peratus bumiputera adalah dikekalkan di mana pemaju perumahan swasta hendaklah memastikan 30 peratus daripada jumlah unit rumah yang dibina adalah diperuntukkan kepada pembeli berstatus bumiputera bersama hak untuk memilih lot rumah.

“Ini bermaksud pembeli berstatus bumiputera adalah berhak untuk memilih lot rumah yang mereka inginkan dan pemaju tidak lagi dibenarkan untuk menetapkan lot rumah untuk dijual kepada pembeli berstatus bumiputera seperti yang diamalkan sebelum ini.

“Bagi mempermudahkan urusniaga hartanah di kalangan pembeli rumah berstatus bumiputera, larangan menjual semula lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang dikuatkuasakan sebelum ini adalah dimansuhkan.

“Dengan itü pembeli berstatus bumiputera boleh menjual semula rumah yang diperuntukkan daripada kuota 30 peratus bumiputera kepada mana-mana pembeli tanpa sebarang sekatan.

“Bagi lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang telah dikeluarkan geran boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk memadamkan sekatan atau larangan tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Joachim berkata, apa-apa diskaun atau rebat yang diberikan oleh pemaju kepada pembeli bukan bumiputera hendaklah ditambah kepada diskaun 5 peratus sedia ada yang diberikan kepada pembeli berstatus bumiputera.

Ini bermaksud jika pembeli bukan bumiputera mendapat 15 peratus diskaun atau rebat, maka pemaju perumahan swasta tersebut hendaklah memastikan pembeli berstatus bumiputera mendapatkan diskaun sebanyak 20 peratus,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa dasar baharu itu selaras dengan usaha kerajaan negeri Sabah untuk mengurangkan birokasi dalam urusan jual beli lot rumah oleh golongan bumiputera.

“Kerajaan juga percaya dengan dasar baharu ini, lot rumah milik golongan bumiputera akan mencapai peningkatan nilai pasaran yang setaraf dengan lot rumah yang dimiliki golongan bukan bumiputera,” katanya.