PENAMPANG, SABAH – Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meneruskan rancangan dan strategi yang jelas melalui kerjasama politik mereka untuk menang besar pada pilihan raya negeri akan datang.
Dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Bersama (JLC) kedua di ibu pejabat STAR semalam, mereka membincangkan keperluan untuk mempergiatkan persiapan menghadapi pilihan raya negeri dan mengenal pasti kerusi yang akan ditandingi.
Antara perkara utama yang dibincangkan ialah keperluan untuk meningkatkan kerjasama akar umbi di peringkat bahagian dan penubuhan jentera pilihan raya.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam dan Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan optimis kerjasama politik antara kedua-dua parti akan menjadikan mereka satu kuasa yang besar.
JLC juga bersetuju untuk menghasilkan manifesto bersama yang mencerminkan visi bersama PBS dan STAR yang juga pelengkap kepada manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
PBS dan STAR dalam sebuah kenyataan bersama menegaskan komitmen mereka untuk memastikan kerjasama mereka akan membantu memberikan kemenangan gemilang untuk GRS dalam pilihan raya negeri.