Amaran Tsunami: Bertenang dan Patuhi Arahan Pihak Berkuasa – Ketua Menteri

Amaran Tsunami: Bertenang dan Patuhi Arahan Pihak Berkuasa – Ketua Menteri

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menasihati penduduk di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu supaya kekal bertenang serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berikutan gempa bumi kuat yang berlaku di Mindanao, selatan Filipina pagi ini.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di daerah-daerah terlibat telah diaktifkan bagi memastikan kesiapsiagaan dan tindakan segera dapat dilaksanakan sekiranya diperlukan.

Menurut Hajiji, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri sedang memantau perkembangan situasi tersebut secara rapi dan berterusan.

“Adalah penting untuk rakyat kekal bertenang dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan gempa bumi bermagnitud 7.9 pada skala Richter telah berlaku di Mindanao, Filipina pada jam 7.37 pagi.

Susulan kejadian itu, MetMalaysia mengeluarkan amaran bahawa ombak tsunami setinggi kira-kira 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara jam 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Sehubungan itu, orang ramai khususnya yang berada di kawasan pesisir pantai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan semasa melalui saluran rasmi kerajaan dan tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.

Pihak berkuasa negeri dan agensi berkaitan terus berada dalam keadaan siap siaga bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin sepanjang tempoh pemantauan amaran tersebut.