KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini mula mendengar keterangan saksi kanak-kanak dalam prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, termasuk lima remaja yang sedang berdepan pertuduhan di Mahkamah Kanak-Kanak kerana didakwa menggunakan perkataan mencela terhadap mangsa.
Kelima-lima remaja berkenaan, yang dirujuk sebagai A, B, C, D dan E, diwakili pasukan peguam masing-masing selepas permohonan mereka sebagai pihak berkepentingan dibenarkan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada 3 September lalu.
Kanak-kanak A diwakili peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala kanak-kanak B, C, D dan E diwakili peguam Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.
Pada 20 Ogos lalu, kelima-lima tertuduh mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina pada 15 Julai 2025, antara jam 10 hingga 11 malam, di sebuah sekolah di Papar.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin serta deposit RM1,000, dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 25 November ini.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di sekolahnya awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, dipercayai akibat kecederaan otak traumatik teruk dengan komplikasi hipoksia iskemia (HIE).
Secara keseluruhan, seramai 35 saksi kanak-kanak dijangka dipanggil memberi keterangan sepanjang inkues ini berlangsung.
Koroner sebelum ini menegaskan bahawa hanya mereka yang terbabit secara langsung dibenarkan berada di dalam mahkamah, manakala pihak luar termasuk media dilarang membuat liputan sepanjang prosiding saksi kanak-kanak.






