Jambatan Roboh di Nabawan, Lori 20 tan Paksa Lintas Struktur Had 6...

Jambatan Roboh di Nabawan, Lori 20 tan Paksa Lintas Struktur Had 6 tan

0
SHARE

NABAWAN: Sebuah jambatan kayu dan beam besi sepanjang 25 kaki di Jalan Kraftangan Kampung Malinja roboh selepas sebuah lori membawa muatan air minuman melintasi struktur berkenaan, pagi Khamis.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 11.26 pagi sebelum jentera dari BBP Nabawan tiba di lokasi tiga minit kemudian.

Lori Nissan itu dikatakan membawa muatan air minuman SASA kira-kira 1550 karton, dengan anggaran berat keseluruhan mencecah 20 tan. Jambatan berkenaan hanya direka menampung beban maksimum 6 tan.

“Seramai enam individu termasuk pemandu dan penumpang berada di dalam lori ketika kejadian, namun semuanya selamat dan tidak mengalami kecederaan,” kata seorang jurucakap.

JBPM memaklumkan lori tersebut dalam perjalanan dari Keningau ke Pekan Nabawan untuk penghantaran stok ke kedai-kedai sekitar pekan itu.

Susulan kejadian, Jalan Kraftangan tidak boleh dilalui dan pengguna dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Nabawan TWP.

“Operasi mengalihkan lori dilakukan dengan bantuan jengkaut jenis Hitachi milik kontraktor berhampiran sebelum kenderaan tersebut berjaya diangkat dan ditarik ke kawasan selamat. Operasi tamat sepenuhnya pada 1 tengah hari.

“Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi, JBPM menyerahkan kawasan kejadian kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk penilaian kerosakan dan tindakan lanjut,” tambahnya.