Thonny Chee Yakin Api-Api Mampu Jadi Destinasi Pelancongan Utama Sabah

Thonny Chee Yakin Api-Api Mampu Jadi Destinasi Pelancongan Utama Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan bagi DUN Api-Api, Thonny Chee berkata kawasan itu berpotensi besar untuk muncul sebagai destinasi pelancongan utama Sabah jika pembangunan bandar diberi perhatian serius.

Beliau menegaskan Api-Api boleh menjadi nadi pelancongan Kota Kinabalu melalui penyelenggaraan, penaiktarafan dan perlindungan aset bandar.

“Bandar ini perlu dijaga seperti tubuh manusia, setiap bahagian mesti sihat dan berfungsi,” katanya.

Jika diberi mandat, Thonny berhasrat menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam, termasuk pemasangan lampu pada bangunan bagi menjadikan kawasan bandar lebih terang dan selamat pada waktu malam.

“Kawasan gelap mengundang risiko. Pencahayaan adalah asas keselamatan,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kerjasama lebih tegas dengan DBKK untuk meningkatkan kebersihan, termasuk penguatkuasaan larangan membuang sampah dan meludah, selain mencadangkan sistem sisa lebih teratur serta tong kitar semula mengikut kategori.

“Kita boleh mencontohi disiplin kebersihan seperti di Jepun,” katanya.

Thonny juga mahu penambahbaikan sistem pembetungan, akses air bersih serta menghidupkan bangunan terbengkalai sebagai pusat komuniti dan tarikan baharu.

“Kita tidak boleh biarkan ruang itu terbiar,” tegasnya.

Beliau turut mengusulkan program rumah mampu milik bagi menangani kos tanah tinggi di Api-Api, di samping memulihkan perkhidmatan bas awam serta merangka perancangan pengangkutan jangka panjang.

“Semua ini adalah strategi pelancongan untuk menjadikan Api-Api bersih, selamat dan menarik. Kita mahu penduduk bangga, dan pelancong mahu kembali,” katanya.