LAHAD DATU: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif menegaskan agenda pembangunan daerah itu akan terus menjadi fokus utamanya sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-17 Sabah pada Sabtu ini.
Norazlinah berkata perancangan tersebut merangkumi empat komponen utama, iaitu mewujudkan hab ekonomi baharu, memajukan sektor pelancongan dengan infrastruktur lebih baik, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda melalui pembangunan bandar baharu Kunak serta menaik taraf kemudahan asas termasuk jalan raya dan bekalan air.
“Kunak perlu bergerak ke tahap seterusnya. Ekonomi mesti diperkasakan, infrastruktur perlu ditambah baik dan peluang pekerjaan anak muda mesti diperbanyakkan,” katanya pada sidang media selepas berucap di Himpunan Gema Anak Kunak di PDM Pengkalan, di sini hari ini.

Norazlinah turut menjelaskan bahawa usaha berkenaan bukan janji baharu, sebaliknya kesinambungan terhadap kerja yang telah bermula semenjak penggal lalu.
Beliau yakin tahap kesedaran pengundi Kunak semakin tinggi dan tidak lagi bergantung kepada logo parti dalam membuat pilihan.
“Rakyat Kunak ingin membuktikan bahawa kemenangan saya sebelum ini bukan kerana logo mata-mata. Mereka menilai berdasarkan kerja dan hala tuju yang jelas,” katanya.
Norazlinah berkata jentera pilihan raya juga telah bersedia lebih awal kerana agenda pembangunan Kunak tidak boleh ditangguhkan.
“Debaran menunggu pengumuman calon itu biasa, tetapi persediaan kami sudah lama berjalan. Apa yang penting ialah memastikan pembangunan Kunak diteruskan,” tambahnya.
Norazlinah akan berdepan Kasman Karate (Perikatan Nasional), Roselih Lumayan (Parti Impian Sabah), Ismu Isyam Arsad (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Anil Sandhu (Barisan Nasional) serta Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan).
Norazlinah pertama kali dipilih sebagai ADUN Kunak pada PRU 2018.
Beliau mengekalkan kerusi tersebut menerusi tiket Warisan dengan majoriti 589 undi dalam pertandingan enam penjuru pada PRN 2020.
Beliau keluar daripada Warisan pada 2023 dan memilih untuk menyokong pentadbiran dipimpin Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).






