KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) mendakwa telah menerima Surat Akuan Berkanun (SD) daripada seorang lagi Ahli Dewan Rakyat yang menyatakan kepercayaan kepada Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan perkara terbabit menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
“Surat Akuan Berkanun ini sudah dihantar ke Istana Negara, pagi ini,” katanya.
Semalam, Hamzah dalam satu kenyataan dilaporkan pihaknya sudah mengemukakan SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberi kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10.
Menurutnya, bilangan dihantar adalah melebihi 112 SD, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan.