LAHAD DATU: Penyandang DUN Kunak, Norazlinah Arif menegaskan bahawa pemilihan pemimpin bagi kawasan itu harus mengambil kira asal-usul dan komitmen terhadap penduduk tempatan, sambil mempersoalkan keberkesanan Ahli Parlimen Lahad Datu dari Warisan, Datul Seri Yusof Apdal termasuk kewajaran meletakkan calon Warisan bagi DUN Kunak, Datuk Jasa @ Ismail Rauddah.
Norazlinah berkata walaupun beliau berdepan pelbagai penghinaan, beliau tetap hadir membantu apabila berlaku kejadian seperti jambatan runtuh, rumah rosak atau apabila anak-anak penduduk memerlukan bantuan pendidikan.

Beliau mendakwa terdapat pemimpin lain yang tidak kelihatan ketika rakyat memerlukan.
“Dikit-dikit hilang dari radar,” katanya pada sidang media selepas berucap di Himpunan Gema Anak Kunak di PDM Pengkalan, di sini hari ini.
Norazlinah turut menyentuh isu calon luar dan mengingatkan penduduk Kunak tentang keputusan pilihan raya lalu.
“Kita sudah kasi Yusof Apdal. Sekarang kamu nak kasi lagi Datuk Jasa?” soalnya.
Menurutnya, Jasa yang berasal dari Semporna tidak mempunyai hubungan langsung dengan Kunak.
“Datuk Jasa orang Semporna, betul? Bolehkah kalau tiba-tiba si Azlinah ni mau jadi YB di Senallang? Mau jadi YB di Bugaya? Sebab itu bukan kampung kita,” katanya.

Beliau menambah bahawa sebagaimana penduduk Kunak tidak mahu calon Semporna bertanding di Kunak, demikian juga penduduk Semporna tidak akan mahu orang luar menjadi wakil rakyat mereka.
Norazlinah turut mendakwa bahawa sesetengah pihak hanya muncul pada masa tertentu dengan slogan “Selamatkan Sabah” untuk menyelamatkan kepentingan sendiri.
“Apa yang nak diselamatkan? Yang nak diselamatkan tabung dorang… peminat dorang,” tegasnya.
Beliau mmenekankan kepentingan memilih pemimpin yang benar-benar hadir bersama rakyat Kunak dalam susah dan senang.
Norazlinah akan berdepan Kasman Karate (Perikatan Nasional), Roselih Lumayan (Parti Impian Sabah), Ismu Isyam Arsad (Parti Perpaduan Rakyat Sabah), Anil Sandhu (Barisan Nasional) serta Jasa @ Ismail Rauddah (Warisan).
Norazlinah pertama kali dipilih sebagai ADUN Kunak pada PRU 2018.
Beliau mengekalkan kerusi tersebut menerusi tiket Warisan dengan majoriti 589 undi dalam pertandingan enam penjuru pada PRN 2020.
Beliau keluar daripada Warisan pada 2023 dan memilih untuk menyokong pentadbiran dipimpin Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).






