GRS Amal Pendekatan Politik Inklusif, Kita Hargai Rakan-Rakan di Peringkat Nasional –...

GRS Amal Pendekatan Politik Inklusif, Kita Hargai Rakan-Rakan di Peringkat Nasional – Razali

0
SHARE

KOTA KINABALU: Setiausaha Eksekutif GRS, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah mengamalkan pendekatan politik yang inklusif dan bukan eksklusif

Katanya, GRS sentiasa menghargai rakan-rakan politik di peringkat nasional.

“Kita bukan bersifat eksklusif, kita bersifat inklusif. Kita perlu mengenal pasti dan menghargai kawan-kawan kita yang bukan berada di Sabah. Itu sangat penting,” katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan penyampaian Watikah JKKK di Dewan Kampung Warisan di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa GRS hanya akan memilih Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan kerjasama politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17), beliau berkata, belum ada keputusan muktamad berhubung kerjasama tersebut.

Bagaimanapun Razali yang juga Setiausaha Agung Parti  Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Darau, menekankan bahawa dalam dunia politik, segala kemungkinan boleh berlaku kerana sifat politik itu sendiri yang sangat dinamik.

“Kalau kita guna istilah spekulasi, dalam politik semuanya mungkin. Buat masa ini, kita belum membuat apa-apa keputusan,” katanya.

Menurut beliau, keutamaan utama GRS PH Plus ketika ini adalah memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa menjadi asas kepada setiap pertimbangan politik.

“Apa yang kita lihat adalah kepentingan rakyat Sabah. Matlamat utama kita adalah apa yang terbaik untuk rakyat Sabah, itu saja,” katanya.

Beliau turut menyerahkan segala keputusan kepada pucuk pimpinan parti, sambil menegaskan bahawa sebarang langkah politik harus selaras dengan objektif utama, iaitu untuk kebaikan rakyat Sabah.