Majalah Idola Wanita Sabah Memberi Inspirasi Kepada Wanita di Negeri Ini

Majalah Idola Wanita Sabah Memberi Inspirasi Kepada Wanita di Negeri Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Penerbitan pertama Majalah Idola Wanita Sabah yang memaparkan idola dan ikon wanita inspirasi Sabah diharap akan menjadi contoh kepada wanita di negeri ini untuk terus berani melangkah ke hadapan.

Isteri Ketua Menteri merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Datuk Juliah Salag, berkata ini adalah satu majalah yang sangat infomatif dan memberi sumber inspirasi kepada wanita di negeri ini.

Tahniah kepada Pertubuhan Bakatnita Sabah kerana telah bertungkus lumus dalam menjayakan penerbitan Majalah Idola Wanita Sabah 2025 Edisi 1 yang dijangka akan dikeluarkan pada bulan Jun ini.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada penerima Anugerah Tokoh dan Ikon Wanita Inspirasi Sabah pada malam ini. Golongan wanita bukan sahaja berperanan dalam membina keluarga yang harmoni, tetapi juga dalam memacu perubahan sosial, ekonomi, dan budaya.

“Dengan adanya anugerah ini, kita dapat memberi pengiktirafan kepada wanita-wanita yang telah memberikan contoh teladan, menginspirasi orang lain untuk terus berusaha dan berjaya, serta memperkasakan lagi kedudukan mereka dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Ikon Wanita Inspirasi Sabah 2025, di sini pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Naib Yang Dipertua 1 MUTIARA GRS, Datin Seri Panglima Cecilia Edwin Kitingan.

Dalam pada itu, beliau mahu lebih banyak usaha untuk memastikan wanita mendapat akses yang sama dalam semua aspek kehidupan.

Katanya, dasar yang mesra wanita bukan hanya perlu dilihat dari segi pekerjaan, tetapi juga dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, kesejahteraan sosial, dan keusahawanan.

“Wanita perlu diberi lebih banyak ruang untuk menyuarakan pandangan mereka dalam merangka dasar yang memberi manfaat kepada semua wanita di negara ini.

“Justeru, saya berharap pelbagai inisiatif yang dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan negeri seperti program latihan kemahiran dan peluang perniagaan yang dijalankan antaranya oleh Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) perlu direbut oleh wanita di negeri ini.

“Program latihan kemahiran akan dapat membantu wanita memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu serta menjadikan golongan ini lebih berdikari dan berdaya saing sama ada dalam pekerjaan mahu pun perniagaan,” katanya.