Lelaki Miliki Kad OKU Hilang, Ditemui Maut di Sungai Lebak Engad, Kota...

Lelaki Miliki Kad OKU Hilang, Ditemui Maut di Sungai Lebak Engad, Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Mayat seorang lelaki berusia 55 tahun yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui di Sungai Lebak Engad, kira-kira dua kilometer dari Kampung Siasai Tamu, di sini, petang Rabu.

Mangsa, yang merupakan pesakit kesihatan mental dan pemegang kad OKU, dipercayai keluar dari rumahnya di Kampung Siasai Dundau pada jam 6 pagi, Isnin lalu untuk ke Hospital Kota Belud bagi mengambil ubat, namun tidak pulang ke rumah.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihak mereka menerima panggilan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 3.16 petang bagi membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan berhampiran sungai selepas mangsa dilaporkan kali terakhir dilihat menuju ke arah sungai untuk menyeberang.

Seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud digerakkan ke lokasi dan operasi pencarian dijalankan menggunakan bot disebabkan paras air sungai yang cetek.

“Mangsa ditemui di Sungai Lebak Engad sebelum dibawa ke tebing dan disahkan meninggal dunia oleh pihak PDRM, kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 5 petang,” kata seorang jurucakap agensi.