Kastam Sabah Rampas Minuman Keras Dan Rokok Tidak Bercukai Bernilai RM5.4 Juta

Kastam Sabah Rampas Minuman Keras Dan Rokok Tidak Bercukai Bernilai RM5.4 Juta

0
SHARE
Minuman keras dan rokok yang dirampas Kastam Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok tidak bercukai dengan nilai harga dan cukai terlibat melebihi RM5.4 juta.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan kesemua barang tersebut membabitkan empat kes berasingan dalam tempoh 6 Mac hingga 18 Mac tahun ini. 

“Bagi minuman keras, kuantiti yang terlibat adalah 177 ribu liter dengan nilai barangan adalah RM961 ribu, ini anggaran dan cukai terlibat adalah RM3.338 juta.

“Manakala bagi rokok ialah, 930 ribu batang dengan nilai barang adalah RM107 ribu dan cukai yang terlibat adalah RM1.011 juta dan secara keseluruhannya ialah, jumlah yang terlibat cukai dan barang ialah RM5.419 juta,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam sesi sidang media mengenai rampasan tersebut di Pejabat Kastam Kota Kinabalu, semalam.

Sementara itu, katanya, Modus Operandi (MO) bagi kes minuman keras yang cuba dibawa masuk melalui Pelabuhan Sepanggar adalah membuat pemalsuan maklumat pada dokumen dengan mengikrarkan barangan lain.

“MO untuk pengimportan penyeludupan minuman keras ini adalah melalui gerakan secara tidak tepat diikrarkan sebagai barangan lain yang mana sebenarnya masuk adalah minuman keras. 

“Maklumat-maklumat ini diikrarkan pada Bill of Lading dan pada Manifest,” katanya.

Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967, iaitu mengimport barang larangan dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, iaitu kesalahan menyimpan barang larangan.

Jika sabit kesalahan, akan memperuntukkan denda tidak kurang daripada 10 kali ganda nilai barang atau RM100 ribu mengikut mana-mana yang lebih besar dan tidak lebih dari 20 kali ganda nilai barangan atau RM500 ribu mengikut mana-mana yang lebih besar atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya.