Peranan Wanita Dalam Ushawan Perlu Diberi Keutamaan – Anna Bell

Peranan Wanita Dalam Ushawan Perlu Diberi Keutamaan – Anna Bell

0
SHARE
Anna Bell Perian, Senator Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Wanita berperanan membawa keluar status keluarga miskin tegar kepada tahap ekonomi yang lebih baik melalui penglibatan dalam bidang perniagaan dan ekonomi.

Senator, Anna Bell Perian berkata, bagi memperkasakan kemampuan dan kebolehan wanita dalam bidang keusahawanan ini mereka perlu diberi peluang mengikuti kursus, seminar atau program latihan berkaitan bidang keusahawanan bagi meningkatkan kemahiran, ilmu dan pengetahuan mereka.

Beliau berkata pemberian modal dan dana juga diberikan kepada wanita yang berkecimpung dalam bidang perniagaan melalui pinjaman kewangan dari institusi-institusi kewangan. 

“Galakan dan insentif kerajaan seperti menyediakan tapak jualan untuk berniaga dan peralatan perniagaan yang lain amat diperlukan bagi membantu wanita dalam berniaga.

“Program-program pembangunan wanita juga perlu dilaksanakan meliputi golongan ibu tunggal dan wanita berkahwin berpendapatan rendah dalam kategori B40,” katanya ketika membahas membahaskan titah dan ucapan Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong di Dewan Negara, Kuala Lumpur semalam.

Tambah Anna Bell, untuk mendepani corak kehidupan yang semakin mencabar dewasa ini, wanita juga seharusnya diberi ruang untuk menjalani hidup yang sihat dan sejahtera.

“Pendidikan pengurusan kesihatan mental dan kesihatan diri harus menjadi keutamaan dalam kalangan wanita. Kesibukan bekerja, mengurus anak-anak dan keluarga menyebabkan berlaku tekanan emosi dan perasaan yang menyebabkan kesihatan mental dan diri wanita boleh terjejas.

“Ketidakupayaan memikul tanggungjawab yang besar dan corak kehidupan yang semakin mencabar boleh mengakibatkan wanita semakin lemah dan mengambil tindakan yang tidak wajar. Wanita harus sentiasa diberikan dorongan emosi dan psikologi. Keupayaan wanita dalam memimpin juga harus diberi ruang, peluang dan kepercayaan,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, penglibatan wanita dalam mengorganisasi aktiviti-aktiviti kemasyarakatan perlu sentiasa diadakan.

“Hal ini demikian kerana, melalui penglibatan wanita ini dapat membentuk nilai-nilai kepimpinan dalam kalangan mereka. Wanita juga harus diiktiraf kemampuan dan kebolehan mereka dalam menerajui landskap pentadbiran.

“Kepercayaan harus diberikan kepada wanita sebagai golongan yang boleh memberi buah fikiran yang mantap dan jitu dalam membuat keputusan dalam pentadbiran kerajaan,” tegasnya.