Wakil Rakyat Perlu War-warkan Pendaftaran PMKS Untuk Mendapatkan Bantuan Keusahwanan

Wakil Rakyat Perlu War-warkan Pendaftaran PMKS Untuk Mendapatkan Bantuan Keusahwanan

0
SHARE
Datuk Ewon Benedick, Menteri KUSKOP

KUALA LUMPUR : Wakil Rakyat diminta menghebahkan kepada usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di kawasan masing-masing agar mendaftar dengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) seperti SME Corp bagi mendapatkan pelbagai bantuan untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, selain pembiayaan, agensi di bawah KUSKOP melaksanakan pelbagai program pembangunan latihan dan bimbingan keusahawanan kepada usahawan termasuk usahawan mikro.

Ewon berkata, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) antaranya menyediakan program bimbingan untuk memperkasakan perniagaan usahawan sehingga mampu menembusi pasaran antarabangsa.

“Saya minta Ahli Yang Berhormat untuk war-warkan kepada PMKS di kawasan masing-masing, daftar dengan SME Corp melalui laman website SME Corp secara percuma. Dalam masa 2 hari sepatutnya pendaftaran PMKS itu, sijil PMKS itu akan dikeluarkan,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Ewon menjawab soalan tambahan Roshan Hashim (Kulim Bandar Baharu) yang bertanya apakah peranan KUSKOP bagi mengembangkan usahawan mikro selain daripada memberi pinjaman serta apakah peranan KUSKOP berkaitan masih ramai usahawan PMKS yang tidak mendaftar dengan SME Corp bagi mendapatkan pelbagai bantuan kewangan untuk perniagaan mereka.

Ewon berkata KUSKOP telah melaksanakan pelan performalan usahawan informal tahun lalu dengan matlamat untuk mendaftarkan lebih ramai lagi usahawan-usahawan informal di negara ini.

“Kita maklum sekitar 77% daripada sekitar 1.2 juta perniagaan PMKS di negara kita ini terdiri daripada usahawan mikro dan memerlukan banyak bantuan termasuk bimbingan, pembiayaan dan sebagainya,” katanya.

Menurut Ewon, kos pendaftaran sebagai syarikat PMKS di SME Corp, adalah percuma ketika ini.

“Di bawah SME Corp, kita telah menyediakan subsidi secara percuma, misalnya kita menampung kos untuk mereka mendaftar sebagai syarikat PMKS sebanyak RM100 yang ketika ini masih secara percuma kerana kita mendapat dana tambahan pada tahun lalu,” katanya.