
PUTATAN, SABAH – Komuniti MADANI disaran menguasai ilmu teknologi untuk menghadapi perkembangan era dunia yang kian mencabar.
Menurut Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh, penguasaan tersebut harus digunakan dari sudut yang positif dengan tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi sedia ada bagi mengelakkan diri dari terjebak kepada sesuatu yang tidak baik.
“Memahami teknologi atau dipanggil literasi digital boleh kita gunakan sebagai platform untuk mengetahui ilmu-ilmu asas mengenai penggunaan teknologi secara positif yang memberi manfaat kepada kita, contohnya untuk membuat perniagaan atas talian serta membuat pembelian atas talian.
“Selain itu, penguasaan teknologi juga dapat mengelakkan diri, keluarga mahupun kenalan-kenalan daripada terjebak dengan penyalahgunaan teknologi yang tidak betul yang akhirnya membawa kesan buruk kepada diri sendiri” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Penolong Pegawai Daerah Putatan, Mohammad Ikram Aidi dalam Program Jiwa Komuniti Madani Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Putatan dan Taklimat Isu-Isu semasa, di sini pada Ahad.
Beliau turut menekankan pentingnya menjaga kesihatan mental dalam kehidupan demi menjalani hidup yang baik dan positif.
“Disamping menjaga kesihatan badan, penjagaan kesihatan mental merupakan antara perkara yang harus menjadi keutamaan dalam kehidupan kita sehari-hari kerana mental yang sihat akan mempengaruhi keupayaan dan tingkah laku positif seseorang individu.
“Sebagai seorang manusia yang mempunyai rasa hormat dan harga diri, elakkanlah daripada melakukan perkara keji seperti gangguan seksual kerana sudah pasti trauma yang dihadapi oleh mangsa ini boleh mempengaruhi tingkah laku agresif seseorang individu” jelasnya.
Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor berharap penganjuran program Komuniti MADANI mengikut kluster seperti hari ini dapat menjadi contoh kepada penganjuran program komuniti di seluruh Negeri Sabah.
“Kita harap dalam program Jiwa Komuniti kali ini konsepnya dapat diperluas kepada semua Komuniti MADANI, di parlimen ataupun DUN, kita rangka pengisian program yang bersesuaian dengan komuniti tersebut dan seterusnya program tersebut akan diurus setiakan serta dilaksanakan secara bersama atau gabungan antara komuniti MADANI, dengan tujuan mengeratkan kerjasama dengan pejabat-pejabat penerangan di daerah.
“Kerana selepas ini kita akan meneruskan lagi program-program seperti ini di seluruh Negeri Sabah,” ujarnya.
Program sehari itu dihadiri lebih 600 orang pengunjung dengan pelbagai pengisian antaranya program taklimat isu-isu semasa, pertandingan mewarna, pertandingan bintang patriotik, sukaneka dan explorace selain penglibatan beberapa gerai pameran dari kementerian dan agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), NADI, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). — JABATAN PENERANGAN SABAH





