KOTA KINABALU, SABAH – Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor digesa untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Menteri berdasarkan undang-undang yang termaktub dalam perlembagaan negeri Sabah.
Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata Hajiji seharusnya menyedari sebarang kenyataan bagi mengambil hati rakyat negeri ini tidak akan menghentikan spekulasi kedudukannya yang tidak boleh dikekalkan.
Katanya, ini terutamanya apabila merujuk kepada Perkara 6 (3) dan Perkara 6 (7) Undang-Undang Tubuh Negeri Sabah di mana mengkehendaki Ketua Menteri Sabah dilantik dikalangan Ahli Dewan Negeri yang menjadi ketua parti yang memenangi majoriti kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020.
“Hakikatnya, Ketua Menteri Sabah pada ketika ini bukanlah ahli atau ketua mana-mana parti secara langsung…
“Kenyataan beliau untuk menubuhkan parti baru semata-mata bagi mengekalkan jawatan bukan sahaja menunjukkan sifat suka melompat parti malah juga merupakan pengkhianatan kepada mandat yang diberikan oleh rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas bertempat di ibu pejabat WARISAN, Kolombong, di sini, hari ini.
Mohd Shafie yang juga merupakan bekas Ketua Menteri Sabah berkata sejarah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah ditubuhkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas PRN Sabah yang dianggotai BN, Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
“GRS hanya didaftarkan sebagai parti yang sah sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) 15 yang lalu. Tidak dijelaskan sama ada Parti Pribumi Bersatu Sabah (BERSATU) Sabah sebagai tulang belakang GRS telah memutuskan untuk keluar atau kekal…
“Ketua Menteri Sabah ‘secara bersendirian’ dan dengan ketidaktentuan sokongan oleh majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah seharusnya meletakkan jawatan sejajar dengan peruntukan Perkara 6 (7).
“Tidak ada sesiapa yang boleh mengesahkan bahawa Ketua Menteri Sabah mempunyai kepercayaan majoriti ADUN dan perlu ditegaskan setiap ADUN mempunyai hak untuk memilih mana-mana ahli lain untuk Ketua Menteri Sabah dengan mengesahkan sokongan kepada Tuan Yang Terutama Negeri Sabah pada bila-bila masa.
“Krisis politik yang melanda negeri Sabah pada ketika ini adalah berpunca daripada tindakan Hajiji sendiri dalam usaha beliau mengekalkan jawatannya selepas PRU15 apabila BERSATU – PN gagal membentuk kerajaan Persekutuan,” katanya.





