KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob menyatakan kekecewaan selain berasa malu dengan tindakan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pengikutnya dengan menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri.
Yusof berkata, sebagai penyokong UMNO, tindakan berkenaan amat menjatuhkan imej di kaca mata rakyat seluruh negara.
“Kita mahu memulihkan UMNO yg sudah terjejas pada PRU15 tapi sekarang bertambah parah. Pemimpin UMNO Sabah dinilai sebagai trouble maker (pembuat hal)…
“Inilah jadinya kalau kita angkat pemimpin yang bermasalah dan kurang waras dan tidak memikir kesan dan akibat bila buat tindakan sebegini. Tindakan ini amat memalukan dan dapat cemuhan rakyat.
“Alasan Bung, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor tidak berunding dengan dia sebelum mahu merombak Kabinet Negeri. Ini tidak wajar kerana tindakan ini bermula dari dia juga.
“Kenapa tidak berunding dgn Hajiji kalau mahu kerjasama dengan Warisan? Tindakan Bung adalah tindakan rampas kuasa atau tebuk atap,” katanya.
Jelas Yusof, tindakan Bung untuk bergabung dengan Warisan demi merampas kuasa telah gagal dalam dua kali percubaan pada Khamis dan Jumaat kerana tidak mempunyai bilangan kukuh.
Beliau menasihati Bung untuk meletakkan jawatan kerana gagal merampas kuasa.
“Sudah tentu Hajiji akan ambil tindakan untuk pecat penghianat begini. Ini reaksi logik dan membersihkan imej kerajaan…
“Kalau di Arab Saudi tindakan begini adalah hukum bunuh pancung, kalau di China hukum bunuh tembak.
“Tindakan ini menimbulkan kemarahan rakyat. Rakyat bukan mahu tukar kerajaan tapi mahu kerajaaan setabil, harga barang turun, ekonomi baik, peluang pekerjaan dan lain-lain. Rakyat sudah penat dengan politik ini.
“Pemimpin-pemimpin sudah penat dengan percaturan politik ini. Pegawai-pegawai Kerajaan sudah penat. Pelabur dan peniaga semakin takut dengan cubaan rampas kuasa begini. Sepatutnya tunggulah PRN akan datang. Habiskan dulu penggal ini sehingga 2025.
“Arahan Yang-Dipertuan Agong pun sama supaya jangan berpolitik, fokus pada kerajaan perpaduan. Agong suruh fokus stabilkan negara. Perdana Menteri pun arah jangan buat perkata yang mengoyahkan politik negara. Beliau (PM) arahkan henti aktiviti begini,” katanya.
Yusof berkata pandangan beliau sudah disampaikan kepada Bung sejak minggu lalu lagi iaitu untuk jangan meneruskan langkah tersebut.
“Kerana saya tahu bila dia teruskan gerakan rampas kuasa ianya tidak akan berjaya dan akhirnya merosakkan UMNO. Rakyat keseluruhan, kakitangan awam, masyarakat peniaga tidak sokong tindakan ini…
“Saya tidak tahu apa lagi yang Bung mahu. Dia sudah Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya. Perdana Menteri pun sudah bagi kuasa untuk JKR Sabah merancang dan mengatur sendiri projek RM50 Juta ke bawah yang di bawah kuasa Kementerian Kerja Raya.
“Kita tunggu lah. Tentu rakyat juga menilai karakter dan cara pemimpin-pemimpin kita di Sabah ini,” beliau berkata.





