TAWAU: Polis berjaya menumpaskan sindiket penipuan pelaburan saham atas talian tidak wujud susulan penahanan 28 warga asing dalam satu serbuan di sebuah rumah di Bandar Sri Indah, di sini.
Serbuan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Tawau dengan kerjasama Strike Team Balai Polis Tawau dan Task Force KDNKA.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, sindiket berkenaan dipercayai menjalankan aktiviti penipuan pelaburan saham secara dalam talian menggunakan beberapa platform aplikasi komunikasi pesanan segera dengan menyasarkan warga Korea sebagai mangsa.
Beliau berkata, lokasi yang diserbu dijadikan sebagai tempat tinggal, pusat operasi serta lokasi latihan bagi menjalankan kegiatan sindiket terbabit.
“Seramai 27 daripada suspek yang ditahan merupakan warga China manakala seorang lagi warga Vietnam berusia antara 21 hingga 51 tahun,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas 33 unit telefon bimbit, tiga komputer riba dan dua modem internet dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM50,000.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti peranan setiap suspek, rangkaian sindiket, jumlah sebenar mangsa serta kerugian yang dialami.
Dalam pada itu, Jasmin menyeru masyarakat supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan mencurigakan.
“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama pihak polis memerangi scammer sekurang-kurangnya dengan tidak menjadi mangsa serta sentiasa berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada pihak berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan,” katanya.
Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan serta telah direman bermula hari ini.






