PUTATAN: Seorang lelaki berusia 47 tahun maut selepas motosikal yang ditungganginya terbakar 100 peratus akibat dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva dalam kejadian di Jalan Putatan menghala ke Lokawi, awal pagi tadi.
Ketua Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, PPgB Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 3.04 pagi sebelum sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.10 pagi dan mendapati sebuah motosikal terbakar 100 peratus selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Viva.
“Pasukan bomba segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula daripada jentera sehingga api berjaya dikawal pada jam 3.14 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, seorang lelaki berusia 47 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Selepas operasi pemadaman selesai, pasukan bomba menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan orang awam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.48 pagi,” katanya.
Operasi diketuai PBK II Mohamad Noor Ashraff Buang dengan bantuan lima anggota BBP Putatan, manakala Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berada di lokasi bagi membantu tindakan lanjut.
Punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.






