New Zealand Catat Rekod 100 Hari Tanpa Kes Baharu COVID-19

New Zealand Catat Rekod 100 Hari Tanpa Kes Baharu COVID-19

0
SHARE

WELLINGTON – New Zealand mencatatkan rekod 100 hari tanpa kes jangkitan baharu COVID-19 pada hari ini (Ahad), namun pihak berkuasa kesihatan memberi amaran bahawa negara itu tidak boleh cepat untuk berpuas hati.

Ini kerana masih ada 23 kes aktif jangkitan virus itu yang semuanya dikesan di pintu sempadan negara itu, dan kini ditempatkan di pusat kuarantin yang disediakan.

“Berjaya mencapai 100 hari tanpa jangkitan dalam komuniti adalah satu kejayaan yang penting, namun seperti mana yang semua ketahui, kita tidak boleh cepat berpuas hati,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, New Zealand, Ashley Bloomfield.

“Kita sudah menyaksikan bagaimana pantasnya virus ini boleh muncul kembali dan merebak ke tempat yang sudah berjaya dikawal, kita perlu bersedia jika berkemungkinan berlaku kembali jangkitan di negara ini,” katanya lagi.

Memetik laporan AFP, New Zealand dengan jumlah penduduk seramai lima juta orang menerima pujian ramai kerana keberkesanannya menangani COVID-19 sejak menutup sempadannya bermula 19 Mac lalu.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut memuji negara itu yang boleh dijadikan sebagai contoh kepada negara lain kerana ‘berjaya mencegah penularan jangkitan dalam masyarakat’.

Sejak pesakit pertama dikesan Februari lalu, New Zealand mencatatkan 1,219 kes dengan kes terakhir penularan komuniti direkodkan pada 1 Mei lalu.

Kesannya, penduduk New Zealand kini menikmati gaya hidup pasca-COVID-19 yang hampir normal tanpa sebarang penjarakan fizikal dan penonton dibenarkan menyaksikan acara sukan dan kebudayaan.

Namun, negara itu masih meneruskan kawalan ketat di sempadan dan semua yang masuk ke negara itu perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin ditetapkan.

Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan berlaku gelombang kedua jangkitan dan meminta rakyat membuat persediaan termasuk menyimpan bekalan kecemasan termasuk pelitup muka.