Kolaborasi KUSKOP, KPKM Majukan Usahawan Sabah

Kolaborasi KUSKOP, KPKM Majukan Usahawan Sabah

0
SHARE
Ewon
Ewon (lapan dari kiri) dan Arthur (lapan dari kanan) bergambar kenangan bersama peserta sesi libat urus ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan melaksanakan lebih banyak program kolaborasi dalam usaha memajukan usahawan di Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata usaha itu sejajar dengan dasar Kerajaan MADANI yang tidak mahu kementerian bekerja dalam ‘silo’ atau masing-masing sebaliknya secara bersama dalam usaha membela rakyat di negara ini.

“Saya dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Kurup telah mengadakan perbincangan dan sebagai permulaan, kami melawat kawasan Parlimen masing-masing iaitu Penampang dan Pensiangan bagi melaksana program serta melihat sendiri keperluan rakyat.

“Mesej yang ingin kami berdua sampaikan khususnya kepada rakyat Sabah adalah kita boleh kerjasama merentasi parti, kawasan dan kementerian sesuai dengan seruan dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI.

“Kalau kami boleh bergerak bersama-sama maka di lapangan dan akar umbi itu harus ada kebersamaan dan boleh buat perkara yang sama,” katanya berucap pada Sesi Libat Urus Kolaborasi KUSKOP dan KPKM Bersama Usahawan Sabah yang turut dihadiri Arthur di sini, malam Selasa.

Dalam pada itu, Arthur berkata, dalam usaha untuk membangunkan Sabah serta memacu ekonomi yang akan mensejahterakan rakyat, kementerian dalam Kerajaan MADANI tidak boleh bekerja secara bersendirian.

Beliau berkata kerjasama itu juga penting untuk KPKM membangunkan sektor diterajuinya menjadi lebih moden, dinamik dan kompetitif ke arah memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, tersedia dan mampu dibeli oleh rakyat.

“Sabah memainkan peranan yang amat signifikan dalam usaha transformasi ini dan seterusnya menyumbang kepada pengeluaran produk agromakanan negara.

“Dengan sejumlah hampir 505,600 pekerja yang terlibat dalam sektor pertanian di negeri ini, saya melihat potensi yang amat besar untuk kita sama-sama terus membangunkan sektor ini selaras dengan Dasar Agromakanan Negara dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya,” katanya.

Dalam majlis sama, turut diadakan taklimat fungsi dan peranan KUSKOP dan KPKM serta sesi soal jawab bersama menteri yang dikendalikan oleh Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor KUSKOP, Dr. Noriman Rojulai.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, Datuk Zamri Salleh dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM, Datuk Azah Hanim Ahmad. — JABATAN PENERANGAN SABAH