Hajiji Tidak Salah Guna Kuasa SFI, Tuduhan Suhaimi Bersifat Fitnah – Nizam

Hajiji Tidak Salah Guna Kuasa SFI, Tuduhan Suhaimi Bersifat Fitnah – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menolak sekeras-kerasnya tuduhan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir, yang mendakwa kononnya Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menyalahgunakan kuasa dalam isu Sabah Forest Industries (SFI).

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, tuduhan tersebut bersifat fitnah dan berniat jahat menjelang Pilihan Raya Negeri, selain memperlihatkan kejahilan undang-undang pihak berkenaan.

Beliau menjelaskan, saman sivil bernilai RM1.4 bilion yang disebut Suhaimi adalah prosiding sivil yang masih berjalan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, bukan sabitan jenayah.

Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh, juga telah menegaskan bahawa dakwaan itu tidak berasas dan melibatkan litigasi yang sedang berlangsung antara pihak-pihak terlibat.

Menurut Nizam, kemelut sebenar SFI berpunca daripada pentadbiran kerajaan terdahulu di bawah Warisan pada tahun 2018.

“GRS ingin memperbetulkan persepsi rakyat bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai kaitan dengan kerugian atau masalah SFI memandangkan kerajaan negeri hanya memegang dua peratus saham syarikat tersebut.

“Semua urusan gaji dan operasi SFI adalah tanggungjawab majikan, bukan kerajaan negeri,” tegasnya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Nizam pada masa sama turut menyifatkan kenyataan Suhaimi sebagai cubaan murahan mengalih perhatian daripada kegagalan UMNO menjaga kepentingan rakyat Sabah.

Beliau menambah, pentadbiran GRS kekal berpegang kepada prinsip ketelusan, integriti dan tanggungjawab terhadap rakyat.

“Rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk negeri ini dan siapa yang hanya menabur dusta demi kepentingan politik peribadi,” katanya.