SPRM DIMINTA SIASAT KTI LANDMARK MENANG PROJEK WISMA BUDAYA TANPA TENDER TERBUKA

SPRM DIMINTA SIASAT KTI LANDMARK MENANG PROJEK WISMA BUDAYA TANPA TENDER TERBUKA

0
SHARE

KOTA KINABALU, 16 Okt – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat penganugerahan projek pembinaan semula Wisma Budaya Kota Kinabalu bernilai RM70 juta kepada syarikat KTI Landmark Sdn Bhd, yang didakwa diperoleh tanpa melalui proses tender terbuka.

Seorang kontraktor tempatan yang enggan dikenali menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, yang dikatakan memberi keutamaan kepada KTI Landmark tanpa mempertimbangkan syarikat-syarikat tempatan lain melalui proses tender yang adil dan telus.

“Kami tidak menentang mana-mana syarikat, tetapi prinsip ketelusan perlu dihormati. Jika benar projek ini menggunakan dana kerajaan melalui GLC seperti Sabah Parks dan Sabah Tourism, maka ia wajib ditawarkan secara tender terbuka,” katanya.

Difahamkan, tanah tapak projek berkenaan merupakan milik Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), manakala dana pembinaan datang daripada entiti GLC di bawah kementerian tersebut.

Beberapa sumber dalaman Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang juga ahli lembaga pengarah di bawah Kementerian Pelancongan turut mempersoalkan bagaimana syarikat KTI Landmark boleh memperoleh kerja bernilai besar ini, dan menyatakan kesediaan untuk membuat laporan rasmi kepada SPRM.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal integriti pentadbiran negeri. Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan jelas menekankan bahawa setiap kementerian mesti bebas daripada rasuah, pilih kasih dan campur tangan politik,” tegas seorang pemimpin GRS yang enggan identitinya didedahkan.

Kenyataan itu menambah bahawa keputusan memberi projek tersebut secara tender tertutup bercanggah dengan semangat ketelusan yang digariskan dalam dasar pembangunan negeri.

Untuk rekod, Datuk Christina Liew kini menerajui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, yang berada di bawah bidang kuasa pemberian projek berkenaan.

 

Portal Sabah News 2.0 sedang mendapatkan maklum balas rasmi daripada pihak Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah serta KTI Landmark Sdn Bhd bagi menjelaskan dakwaan yang dikemukakan.

 

Penafian:

Laporan ini disiarkan berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada sumber awam dan kenyataan pihak terlibat. Sabah News 2.0 tidak membuat sebarang tuduhan, dan laporan ini bertujuan untuk mendapatkan penjelasan rasmi daripada pihak berkuasa yang berkenaan.