Imigresen Tahan 19 PATI Dalam Operasi di Sipitang

Imigresen Tahan 19 PATI Dalam Operasi di Sipitang

0
SHARE

SIPITANG: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah di sekitar kawasan tanggungjawab Pejabat Imigresen Daerah Sipitang, semalam.

Operasi yang dijalankan di empat premis itu melibatkan seramai lapan pegawai imigresen.

Hasil pemeriksaan ke atas 41 individu, seramai 19 warga asing berjaya ditahan kerana disyaki melanggar peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Menurut JIM Sabah, kesemua yang ditahan terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina yang didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah.

“Kesemua individu yang ditangkap dan ditahan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah atau pas yang sah dan akan disiasat mengikut kesalahan masing-masing di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” menurut kenyataan JIM Sabah, di sini, hari ini.

Tambah kenyataan itu, pihak JIM Sabah menegaskan komitmen berterusan dalam mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

“JIM Sabah menegaskan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

Sehubungan itu, orang awam turut diseru untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing, sambil menegaskan bahawa tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan.