TAWAU: Polis menahan seorang lagi lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam kes kecurian buah kelapa sawit di sebuah ladang di Sungai Burung yang dilaporkan berlaku pada 3 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 45 tahun yang bekerja sebagai buruh ditahan kira-kira jam 9.10 pagi tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di perkarangan IPD Tawau.
“Tangkapan ini merupakan hasil tindakan susulan daripada siasatan ke atas tangkapan pertama yang dibuat pada 9 Oktober lalu membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Menurut ACP Jasmin, hasil siasatan lanjut membawa kepada penahanan suspek kedua yang dipercayai turut terlibat dalam kegiatan mencuri buah kelapa sawit menggunakan sebuah lori tiga tan di kawasan ladang berkenaan.
Kejadian itu dilaporkan selepas pemilik ladang mendapati kira-kira dua tan buah kelapa sawit miliknya telah dicuri oleh tiga lelaki menggunakan lori, dengan nilai kerugian dianggarkan berjumlah RM2,000.
Dalam operasi terdahulu, polis turut merampas sebuah lori berwarna putih, sebatang anak kunci dan sekeping slip jualan buah kelapa sawit sebagai barang kes bagi membantu siasatan.
“Semakan rekod mendapati suspek kedua mempunyai tiga rekod kesalahan lampau termasuk kes penyalahgunaan dadah dan jenayah kekerasan, manakala suspek pertama tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya.
Beliau menegaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, dan usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi individu yang masih bebas.
ACP Jasmin turut menekankan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tawau tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mencuri hasil pertanian yang menjejaskan pendapatan pemilik ladang di daerah ini.






