KOTA KINABALU: Sabah melakar satu lagi pencapaian penting dalam agenda pembangunan ekonomi mampan apabila Kerajaan Negeri memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Blue Financing bersama Maybank Group Global Banking, sekali gus memperkukuh pelaksanaan Dasar Ekonomi Biru di negeri ini.
Majlis menandatangani MoU yang disaksikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu pada Isnin itu menandakan komitmen strategik Sabah untuk muncul sebagai peneraju utama pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut dan maritim di rantau ini.
Hajiji berkata, pembiayaan biru merupakan instrumen penting dalam membuka akses kepada kemudahan kewangan bagi menyokong projek serta syarikat berimpak positif kepada ekonomi dan alam sekitar, termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Kerjasama ini turut merangkumi khidmat nasihat, pemantauan serta jaringan industri oleh Maybank bagi mengukuhkan pelaksanaan projek berkaitan.
Katanya, pembiayaan biru akan menjadi pemangkin kepada transformasi Ekonomi Biru Sabah merangkumi penerapan teknologi baharu, pembangunan hab penyelidikan (R&D), pemerkasaan harta intelek (IP), peluang pekerjaan dan penjanaan daya saing ekonomi negeri yang lebih mampan.
Sabah memiliki garis pantai sepanjang 2,383 kilometer dan kawasan perairan luas, menjadikannya antara negeri paling berpotensi dalam pembangunan ekonomi laut di Malaysia.
Namun menurut Hajiji, potensi ini belum dimanfaatkan sepenuhnya sebelum ini, justeru Dasar Ekonomi Biru Sabah diperkenalkan untuk mempelbagaikan struktur ekonomi dan memastikan manfaat pembangunan dirasai secara inklusif.
Sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan dasar, kerajaan negeri menubuhkan Majlis Ekonomi Biru Sabah (MEBS) pada 16 Jun lalu sebagai platform penyelarasan utama dasar dan strategi pelaksanaan.
Penubuhan MEBS itu membuktikan kesungguhan Sabah menggembleng potensi maritim secara tersusun dan berimpak tinggi selaras aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hajiji turut menyorot pelaksanaan MoA antara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan Alpha Ocean Resources Berhad (AORB) bagi pembangunan Pelabuhan Bertaraf Kesatuan Eropah (EU) untuk pendaratan tuna dan hasil laut dalam serta pewujudan Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat yang bakal merangsang pelaburan teknologi marin, tenaga boleh diperbaharui dan pemprosesan makanan laut bernilai tambah.
Sabah International Blue Economy Conference (SIBEC) 2024 yang menghimpunkan lebih 4,000 peserta turut menjadi bukti pengiktirafan antarabangsa terhadap peranan Sabah dalam agenda Ekonomi Biru global. Hajiji merakamkan penghargaan kepada Maybank atas komitmen dan kepercayaan dalam menjayakan inisiatif Blue Financing di Sabah.
“Saya menyeru semua pemain industri dan usahawan muda agar bersama kerajaan menjayakan agenda ini. Jadikan Blue Financing sebagai pemangkin transformasi ekonomi biru Sabah demi kesejahteraan generasi akan datang,” katanya.






