KOTA KINABALU: Pencapaian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang lima tahun pentadbiran menunjukkan Sabah berada di landasan kukuh untuk terus mara ke hadapan, kata Naib Ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Azrul Ibrahim.
Dalam kenyataannya di Facebook rasmi, Azrul berkata, rekod pentadbiran Datuk Seri Hajiji Noor membuktikan kemampuan kerajaan negeri mengurus Sabah dengan baik walaupun berdepan pelbagai cabaran besar.
Cabaran itu katanya, termasuklah pandemik COVID-19, ketidaktentuan ekonomi global, konflik politik serta cubaan kudeta melalui Langkah Kinabalu.
Menurutnya, pencapaian signifikan seperti hasil negeri mencecah RM7 bilion, tertinggi dalam sejarah Sabah, kemasukan pelaburan strategik bernilai RM56 bilion dalam tempoh 5 tahun, penurunan kadar pengangguran, serta kejayaan Sabah memperkukuh sektor minyak dan gas termasuk tuntutan hak negeri sekali lagi membuktikan kemampuan GRS memacu pembangunan secara konsisten.
Azrul berkata, perkembangan ini memberi keyakinan baharu kepada generasi muda Sabah bahawa lebih banyak pencapaian dan kejayaan dapat direalisasikan sekiranya kerajaan GRS terus diberi mandat menerajui negeri selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah akan datang.
“InsyaAllah GRS menawarkan kestabilan, pembangunan dan kesederhanaan untuk rakyat Sabah khususnya anak muda bagi kita melakar lebih banyak potensi dan peluang pada masa akan datang,” katanya.






