KOTA KINABALU: Pengamal undang-undang, Nizam Salleh Said Keruak menyifatkan keluarnya Grounds of Judgment (GOJ) penuh berkaitan hak 40 peratus Sabah pada 7 November lalu sebagai detik penting dalam memahami kewajipan sebenar Persekutuan terhadap Sabah di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, penghakiman ini buat pertama kali setelah hampir lima dekad memberi penjelasan jelas tentang asas undang-undang isu 40%, termasuk keperluan semakan menyeluruh tahun demi tahun sejak 1974, serta keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan warta 2022 dan 2025 kerana tidak memenuhi maksud semakan fiskal sebenar yang termaktub dalam perlembagaan.
Nizam turut menjelaskan bahawa mahkamah menegaskan proses semakan 40 peratus bukan budi bicara politik, tetapi kewajipan perlembagaan yang perlu dijalankan secara berdasarkan rekod hasil dan perbelanjaan sebenar.
Beliau menyifatkan pengiktirafan locus standi Sabah Law Society (SLS) dalam kes ini sebagai perkembangan besar buat penyertaan badan profesional dalam mempertahankan kepentingan awam dan perlembagaan Sabah.
Menurut Nizam, pilihan undang-undang selepas ini masih terbuka termasuk kemungkinan rayuan oleh Jabatan Peguam Negara, namun rayuan bukan penghalang kepada hak Sabah kerana proses tersebut adalah sebahagian daripada sistem semak dan imbang undang-undang.
Katanya, pelaksanaan hak 40 peratus tetap memerlukan penyediaan data lengkap daripada agensi persekutuan termasuk LHDN, Kastam, MOF, JANM dan Petronas sebelum sebarang angka dapat diputuskan dan diaudit.
Beliau mencadangkan agar Sabah dan Persekutuan menubuhkan satu pasukan semakan fiskal bersama bagi menyemak rekod sejak 1974, membangun kapasiti teknikal dalam bidang pemodelan fiskal dan audit sejarah, serta mewujudkan institusi rasmi semakan tahunan agar proses tidak bergantung kepada parti atau kerajaan memerintah.
Nizam turut menegaskan bahawa perbincangan mengenai isu ini perlu dilakukan secara tenang, profesional dan inklusif tanpa mengheretnya ke kancah politik kepartian menjelang PRN. “Hak 40 peratus bukan milik parti, ia hak Sabah,” katanya.
Beliau menyeru masyarakat untuk memahami asas perlembagaan, menyokong ketelusan data serta mengukuhkan naratif kerjasama Sabah–Persekutuan supaya pelaksanaan hak 40 peratus dapat menjadi asas kepada hubungan federalisme yang lebih stabil, adil dan mapan untuk masa depan negeri ini.






