GRS Umum Calon PRU Sabah Rabu Ini (12 November)

GRS Umum Calon PRU Sabah Rabu Ini (12 November)

0
SHARE

MENUMBOK: Senarai calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 akan diumumkan pada 12 November ini, iaitu tiga hari sebelum tarikh penamaan calon.

Perkara itu disahkan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, parti-parti lain bebas mengumumkan calon masing-masing lebih awal, namun GRS telah menetapkan 12 November sebagai tarikh rasmi pengumuman calon yang akan bertanding pada 29 November ini.

“Kita sudah agih kerusi, jadi kalau mereka mahu umum awal, itu hak mereka. Kita akan umum calon kita pada 12 November nanti,” katanya.

Hajiji berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok 2025–2035, Penyerahan Kunci Rumah Sabah Maju Jaya, Perasmian Masjid Nur Ihsan Daerah Menumbok, Penyerahan Warta Tanah serta penyampaian bantuan Yayasan Limus Jury di Tapak Tamu Pekan Menumbok, pada Khamis lalu.

Dalam pada itu, Hajiji menyatakan keyakinan bahawa GRS mampu kembali membentuk kerajaan selepas PRU DUN Sabah Ke-17. Katanya, keyakinan tersebut berdasarkan kekuatan calon boleh menang yang dipertaruhkan GRS di semua kerusi yang ditandingi.

“Kita hanya letak calon yang boleh menang termasuk di Kuala Penyu ini, dan saya sudah beri ‘hint’ calon di sini. Kita yakin menang pada pilihan raya ini,” katanya.

Beliau menegaskan, jika GRS diberi mandat sekali lagi, kerajaan akan meneruskan pelaksanaan pembangunan menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 sebagai kesinambungan agenda pembangunan negeri.

Sementara itu, Hajiji bersetuju agar cadangan pembinaan jambatan menghubungkan Labuan dengan tanah besar Sabah dibincangkan semula dengan Kerajaan Persekutuan memandangkan ia bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah berpotensi meningkatkan pertumbuhan ekonomi di Menumbok dan Kuala Penyu.