PAPAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluas pelaksanaan inisiatif digitalisasi dan ketelusan data harga barangan apabila dua pasar raya di Sabah, Pasar Raya Bataras Sdn Bhd dan Pasar Raya CKS Retail Sdn Bhd, menyertai perkongsian data harga secara automasi melalui aplikasi PriceCatcher.
Kerjasama ini dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada kelmarin, sebagai lanjutan inisiatif rakan strategik sektor peruncitan yang bermula setahun lalu melalui penyertaan Pasar Raya MYDIN dan Redtick bagi perkongsian sukarela maklumat harga ke dalam aplikasi tersebut.
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, PriceCatcher kini memaparkan data harga untuk 316 barangan keperluan harian merangkumi barangan segar, berbungkus, susu dan bayi, produk kebersihan serta minuman, yang dikemas kini harian, mingguan dan bulanan.
“Aplikasi itu telah dimuat turun lebih 590,000 pengguna seluruh negara sehingga 31 Oktober 2025, dengan purata 10,000 pelawat aktif mingguan.
“Sebelum ini, maklumat harga dalam aplikasi diperoleh sepenuhnya melalui Pegawai Pemantau Harga (PPH) di lapangan, menyebabkan liputan data terhad,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Dengan penyertaan peruncit secara automasi, pengguna di Sabah kini dapat mengakses maklumat harga secara masa nyata, sekali gus membantu mereka membuat keputusan perbelanjaan lebih tepat dan efisien.
Tambah Armizan, KPDN akan terus menggalakkan penyertaan lebih banyak pasar raya dan premis runcit untuk menyertai penyelarasan automasi data harga ini sebagai komitmen memperluas akses maklumat dan memenuhi hak pengguna mendapatkan maklumat yang telus dalam pasaran.
Dalam perkembangan berkaitan, KPDN turut menggesa penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) memanfaatkan program Baucar Perlindungan Tenang (PTV) 3.0 yang memberikan baucar RM30 kepada dua juta penerima STR mulai 1 September 2025.
Program ini bertujuan memperkukuh perlindungan sosial golongan B40 melalui pembelian produk asas takaful dan insurans mampu milik yang ditawarkan pengendali berlesen sehingga 31 Disember 2025 atau sehingga baucar ditebus sepenuhnya.
Setakat 11 November 2025, seramai 18,826 penerima STR telah menebus produk PTV 3.0 menerusi syarikat terpilih di bawah program ini. Kerajaan menggesa penerima STR untuk mendaftar serta menebus baucar melalui laman web MyCoverage di www.mycoverage.my sebelum tarikh tamat program.






