KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menegaskan bahawa keputusan dua bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang kini menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan hak demokratik individu yang perlu dihormati.
Presiden Gagasan Rakyat itu berkata, setiap individu bebas memilih parti yang ingin diwakili mengikut prinsip demokrasi, dan keadaan tersebut jelas mencerminkan budaya politik matang di Sabah.
“Sudah tentu itu hak demokrasi mereka. Mereka memilih untuk bertanding atas tiket PKR dan kebetulan PKR juga adalah rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan. Jadi, kita menghormati pilihan tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan Maybank bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru, di Menara Kinabalu, Isnin.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyertaan Datuk Jamawi Jaafar dan Datuk George Hiew sebagai calon PKR setelah sebelum ini merupakan pemimpin dalam Gagasan Rakyat.
Menurut Hajiji, perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu berhubung kedudukan Gagasan Rakyat mahupun GRS memandangkan ia mencerminkan realiti dinamika politik Sabah yang telah lama wujud.
“Bagi saya, tiada masalah. Kedua-dua individu berkenaan kini secara rasmi adalah calon PKR dan bukan lagi mewakili Gagasan Rakyat. Kita sudah pun melepaskan mereka. Itu hak mereka dan kita menghormatinya,” katanya.
Tambah beliau, Gagasan Rakyat tetap akan memberikan sokongan kepada mereka sebagai calon daripada komponen Kerajaan Perpaduan.
“Biarlah begitu. Mereka calon Pakatan Harapan, dan kita akan terus menyokong,” jelasnya.
Sementara itu, mengulas mengenai tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick melepaskan jawatan dalam Kabinet Persekutuan, Hajiji enggan mengulas lanjut. “Kami sudah keluarkan kenyataan. Jika boleh, kita berharap Kerajaan Persekutuan tidak membuat rayuan. Namun jika mereka ingin merayu, itu hak mereka,” katanya.
Terdahulu, Ketua Menteri menyaksikan MoU Kerajaan Negeri–Maybank bagi pembiayaan projek Ekonomi Biru Sabah, yang menjadi salah satu inisiatif baharu merancakkan pembangunan sektor ekonomi maritim negeri.






