Peluncuran Blok Baharu Hospital Tawau Bukti Keperluan Rakyat Dipenuhi – Liew Yun...

Peluncuran Blok Baharu Hospital Tawau Bukti Keperluan Rakyat Dipenuhi – Liew Yun Fah

0
SHARE

TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Tan Sri Liew Yun Fah menyatakan kesyukuran apabila projek pembinaan Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau akhirnya berjaya disiapkan dan dilancarkan secara rasmi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis khas pagi tadi.

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Masidi Manjun dan Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mustapha Sakmud hari ini di Tawau.

Menurut Liew, projek ini telah menempuh pelbagai cabaran dan perubahan dalam kepimpinan Kerajaan Persekutuan, namun tetap berjaya diteruskan sehingga selesai kerana ia merupakan keperluan penting rakyat di Tawau, Kalabakan dan kawasan sekitarnya.

Beliau berkata, terdapat pihak sebelum ini yang memandang sinis usaha membawa projek mega tersebut, namun hari ini terbukti bahawa pelaksanaan blok rawatan baharu ini mampu menyelesaikan banyak kekangan fasiliti dan kesesakan perkhidmatan kesihatan yang dialami di hospital berkenaan.

Liew turut berkongsi bahawa beliau sendiri telah mengadakan pelbagai program dan usaha sejak beberapa tahun lalu termasuk membawa Menteri Kesihatan dari Putrajaya dan pihak kementerian di peringkat negeri untuk meneliti keperluan sebenar di lapangan.

Katanya, pelancaran ini adalah kemuncak kepada usaha berterusan pihak yang terlibat memperjuangkan kemudahan kesihatan di Tawau dan merupakan satu kejayaan bersama demi manfaat rakyat.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri kerana turun ke Tawau sendiri bagi menyaksikan pelancaran, sekali gus memberi pertimbangan sewajarnya terhadap keperluan masyarakat tempatan.