Dulu bergelap, kini kampung kami bersinar – Penduduk Tanjong Kapor cerita perubahan

Dulu bergelap, kini kampung kami bersinar – Penduduk Tanjong Kapor cerita perubahan

0
SHARE

KUDAT: Penduduk di beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Kapor menyatakan penghargaan terhadap usaha khidmat wakil rakyat penyandang, Datuk Ben Chong Chen Bin, yang dilihat berjaya membawa pelbagai perubahan di bawah kepimpinan kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Tinjauan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) termasuk Kudat Bandar, Ladung Ayang, Pengaraban dan Tiga Papan mendapati penduduk menilai prestasi Ben Chong sebagai positif dan berkesan dalam menyelesaikan isu-isu asas seperti jalan raya, kemudahan air, lampu jalan serta perumahan rakyat.

Dulu susah masuk kampung, sekarang kereta sudah boleh masuk

Merdonnahar Aznan

Pengerusi JKKK Kampung Kolam, Merdonnahar Aznan, 43, berkata kampung mereka sebelum ini terpencil dan tiada kemudahan jalan serta lampu jalan.

“Dulu kereta pun susah mahu masuk, jalan banyak lubang, gelap waktu malam. Tapi sejak zaman kerajaan GRS dan YB Ben Chong jadi wakil rakyat, kampung kami sudah ada jalan konkrit dan lampu solar. Kalau ada kecemasan pun senang boleh keluar,” katanya.

Merdonnahar Aznan menunjukkan keadaan terkini jalan berbukit yang kini boleh dilalui kenderaan, berbeza dengan dahulu apabila penduduk hanya mampu berjalan kaki melalui denai sempit.
Merdonnahar Aznan meluahkan rasa lega apabila jalan kampung kini terang pada waktu malam selepas pemasangan lampu solar di sepanjang laluan utama.

Beliau menambah, Ben Chong kerap turun padang dan menjadi antara pemimpin terawal menjejakkan kaki ke kampung tersebut sebelum bergelar wakil rakyat.

“Beliau memang sentiasa masuk kampung. Kami harap selepas ini kemudahan air bersih pula dapat disalurkan,” katanya lagi.

Tiga peruntukan jalan konkrit di Pengaraban

Joni Maldud menunjukkan jalan kampung kini siap dibina dengan konkrit selepas diluluskan tiga peruntukan kerajaan negeri hasil usaha wakil rakyat Tanjung Kapor, Datuk Ben Chong.

Di Kampung Pengaraban, penduduk Joni Maldud, 37, berkata jalan utama kampung kini siap dibina dengan konkrit selepas diluluskan tiga peruntukan kerajaan negeri hasil usaha wakil rakyat berkenaan.

“Dulu jalan teruk, bila hujan berlubang besar dan rumah pun runtuh. Sekarang sudah siap jalan konkrit, ada solar dan gerbang kampung. Ben Chong banyak bantu ajukan projek kepada kementerian sampai diluluskan,” ujarnya.

Beliau menyifatkan Ben Chong sebagai pemimpin yang prihatin dan sentiasa peka terhadap aduan rakyat.

Rumah SMJ beri sinar baharu kepada penduduk

Chong Sing Moi bergambar di hadapan rumah baharu di bawah Program SMJ yang bakal didudukinya tidak lama lagi, bersebelahan rumah lamanya yang kini kelihatan uzur dan usang.

Seorang warga emas, Chong Sing Moi, 68, di Kampung Tanjung Kapor, yang kini menanti kunci rumah baharu di bawah Program Rumah Mesra SMJ, berkata:

“Dulu rumah saya buruk dan uzur. Sekarang rumah SMJ yang kerajaan beri cantik dan selesa. Tak sabar mahu pindah duduk,” katanya sambil menzahirkan rasa syukur kepada kerajaan negeri dan Ben Chong atas inisiatif tersebut.

Jambatan baharu ubah wajah Kampung Bawang Jamal

Jambatan baharu di Kampung Bawang Jamal
Jaslin Agansai

Sementara itu, Jaslin Agansai, 44, Pengerusi JKK Kampung Bawang Jamal, memaklumkan projek pembinaan jambatan baharu yang siap baru-baru ini telah memudahkan penduduk ke sekolah dan ke laut.

“Dulu jambatan kayu ni reput, bahaya untuk anak-anak sekolah. Lepas kami minta, Ben Chong luluskan peruntukan buat jambatan baharu. Sekarang semua penduduk lega,” katanya.

Antara jambatan baharu yang siap untuk digunakan warga Kg Tajau Laut.

Rekod kemenangan dan perubahan parti

Ben Chong mula bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah 2018 atas tiket Parti Warisan, menewaskan calon LDP dengan majoriti 2,992 undi. Beliau mempertahankan kerusi itu pada PRN 2020 dengan 7,206 undi menewaskan calon BERSATU (majoriti 1,879 undi).

Pada Februari 2023, beliau keluar daripada WARISAN dan menjadi ADUN bebas yang menyokong kerajaan GRS pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sebelum menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (GAGASAN) secara rasmi.

Beliau menjelaskan langkah itu dibuat kerana mahu memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Tanjong Kapor terus berjalan dengan lebih lancar di bawah kerajaan negeri sedia ada.

“Kita tidak boleh hanya berpolitik tanpa membawa manfaat kepada rakyat. Saya mahu pastikan pembangunan dan kebajikan rakyat Tanjong Kapor tidak terhenti,” katanya.

Fokus pendidikan dan pembangunan belia

Selain infrastruktur asas, Ben Chong turut memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan. Beliau menubuhkan program tuisyen percuma untuk pelajar B40 di Kudat yang memberi manfaat kepada lebih 200 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam subjek teras seperti Matematik dan Sains.

Selain itu, beliau menyampaikan bantuan tunai pendidikan “Budi” bernilai RM2,000 seorang kepada pelajar dari Tanjong Kapor yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Bantuan pendidikan lebih memberi kesan jangka panjang daripada sekadar sumbangan material,” katanya.

Sedia pertahankan kerusi GRS

Datuk Ben Chong

Menjelang PRU17 Sabah pada 29 November ini, Ben Chong dijangka mempertahankan kerusi DUN Tanjong Kapor atas tiket GRS-Gagasan Rakyat.

“Saya yakin dengan dasar membangun Sabah Maju Jaya. Selagi rakyat terus beri kepercayaan, saya akan terus berjuang untuk memastikan pembangunan, pendidikan dan kebajikan di Tanjong Kapor diteruskan,” katanya.

Dengan rekod pencapaian yang konsisten dan hubungan rapat bersama komuniti setempat, beliau dilihat antara calon yang berpotensi mengekalkan kemenangan untuk GRS di kawasan Tanjong Kapor pada pilihan raya 29 November ini.