Warga Emas Maut Dipercayai Dibaham Buaya di Sungai Trusan Sapi

Warga Emas Maut Dipercayai Dibaham Buaya di Sungai Trusan Sapi

0
SHARE

BELURAN: Seorang lelaki warga emas dipercayai menjadi korban buaya ketika mandi di Sungai Trusan Sapi, Kampung Bakong-Bakong Sapi, malam semalam.

Mangsa berusia 62 tahun itu dikatakan keluar mandi seorang diri sekitar jam 8 malam, namun tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya. 

Penduduk kampung kemudian melancarkan pencarian menggunakan bot di kawasan sekitar sungai.

Pencarian berakhir tragis apabila mangsa ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 10 meter dari lokasi terakhir dia dilihat. 

Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran yang tiba di lokasi pada jam 12.06 tengah hari menamatkan operasi pada jam 2 petang setelah memastikan tiada lagi ancaman di kawasan tersebut.

Operasi turut dibantu oleh pihak polis, dengan dua anggota bomba diketuai PBK II Jipili menggunakan jentera Hilux Vigo.

Serangan buaya antara insiden yang kian kerap berlaku di sungai pedalaman Sabah, terutama di kawasan perkampungan yang bergantung kepada sumber air semula jadi untuk kegunaan harian.