KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini mengumumkan keluar daripada Pakatan Harapan (PH) serta-merta selepas mengadakan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi parti itu.
Setiausaha Agung UPKO, Datuk Nelson W. Angang berkata, keputusan dibuat selepas menilai semula hala tuju perjuangan berasaskan agenda Sabah First yang menjadi teras parti.
Beliau berkata, mesyuarat khas itu turut menyokong tindakan Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana tidak sehaluan dengan pendirian Jabatan Peguam Negara berhubung semakan kehakiman tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah oleh Sabah Law Society.
Menurut Nelson, sepanjang empat tahun bersama PH, UPKO mendapati berlaku perbezaan pandangan dengan parti-parti komponen PH di peringkat nasional mengenai isu hak 40 peratus hasil Sabah, tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak, serta kegagalan melaksanakan autonomi pentadbiran PH Sabah.
Katanya, walaupun UPKO dipilih sebagai Pengerusi PH Sabah, perkara itu tidak disahkan oleh Majlis Presiden PH selepas dibantah oleh PKR Sabah.
“Keputusan penting PH di Sabah dibuat oleh PKR tanpa memberi ruang autonomi sebenar kepada PH Sabah,” katanya.
UPKO menegaskan hanya parti-parti tempatan Sabah benar-benar memahami aspirasi rakyat negeri itu dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memperjuangkan agenda Sabah First serta pelaksanaan sebenar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Nelson berkata, dua Ahli Parlimen UPKO, Ewon Benedick dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, akan terus menyokong kestabilan Kerajaan Persekutuan selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.






