Pasangan Mengaku Bersalah, Cederakan Dua Kanak-Kanak Lelaki Guna Seterika

Pasangan Mengaku Bersalah, Cederakan Dua Kanak-Kanak Lelaki Guna Seterika

0
SHARE
Kanak-kanak yang didera sedang dirawat di Hospital

KENINGAU: Pasangan mengaku bersalah di mahkamah majistret di sini atas dakwaan menyebabkan kecederaan kepada dua kanak-kanak lelaki di bawah jagaan mereka.

Lelaki berusia 27 tahun dan wanita berusia 36 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.

Lelaki itu menghadapi dua pertuduhan kerana menyebabkan kecederaan kepada dua kanak-kanak lelaki yang berusia 13 tahun dan 5 tahun tanpa izin pada 24 dan 30 Mac di sebuah bilik sewa di Pekan Keningau.

Kesalahan tersebut di bawah Seksyen 323 yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Manakala, wanita itu pula menghadapi tiga pertuduhan, iaitu yang pertama telah menyebabkan kecederaan kepada kedua kanak-kanak lelaki itu tanpa izin pada masa dan tempat yang sama.

Pertuduhan seterusnya, wanita itu didakwa menyebabkan kecederaan pada kedua kanak-kanak dengan menggunakan seterika pada masa dan tempat yang sama.

Kecederaan melalui seterika, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu dan jika sabit kesalahan, kes dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Mei depan untuk sebutan seterusnya sementara menunggu laporan perubatan kedua-dua mangsa.

Lelaki itu ditawarkan ikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan manakala wanita itu dikenakan ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 324 dan RM4,000 bagi pertuduhan lain.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang difahamkan belum berkahwin, tidak diwakili peguam serta tidak dapat membayar ikat jamin.

Sementara itu, pendakwaan kes tersebut dilakukan oleh ASP Ramona Albert.

Terdahulu, media melaporkan, pasangan itu ditahan berikutan laporan polis yang dibuat oleh seorang lelaki yang terserempak dengan kedua kanak-kanak menjual burger pada 2 April lalu.