KOTA MARUDU, SABAH – Satu kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan yang membawa muatan minyak petrol terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki di Kampung Manggaris petang semalam.
Dalam kejadian 6.29 petang itu, pemandu lori tersebut iaitu seorang lelaki tempatan berumur 45 tahun nyaris maut dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, PPgB Rony Sikawan berkata pihaknya telah menerima panggilan melalui talian balai tentang kejadian itu dan sepasukan enam anggota diketuai Pegawai Operasi, PBK II KUP Radzly Bakar dikejarkan ke lokasi yang terletak 15 kilometer dari BBP.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati satu kemalangan melibatkan sebuah lori minyak 10 tan membawa muatan minyak petrol terbabas sendiri lalu terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki…
“Terdapat seorang mangsa terlibat dalam kemalangan dan dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Pasukan bomba membuka kepala bateri lori tersebut dan memasang sawar-sawar sementara menunggu bantuan lori dari Kota Belud untuk menyedut minyak lori yang terlibat kemalangan,” katanya.
Menurut Rony, setelah memastikan tiada kemerbahayaan lain wujud, operasi ditamatkan pada jam 8.18 malam.