KePKAS Sedia Bekerjasama Dengan Lebih 30 Persatuan Etnik Tawau dan Lahad Datu

KePKAS Sedia Bekerjasama Dengan Lebih 30 Persatuan Etnik Tawau dan Lahad Datu

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah mahu semua persatuan etnik di daerah Tawau dan Lahad Datu untuk terus membangunkan kebudayaan, dan adat tradisi masing-masing agar tidak ditelan arus modenisasi.

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata ia penting agar warisan budaya kepelbagaian etnik dapat terus diperkasa sekaligus dikembangkan menjadi produk pelancongan budaya yang menarik.

“Kementerian sedia bekerjasama dengan semua persatuan etnik yang ada untuk bersama memajukan sektor pelancongan di seluruh daerah menerusi kekayaan warisan budaya masyarakat setempat,” katanya…

Beliau berkata demikian selepas hadir dalam sesi libat urus bersama persatuan kebudayaan di kedua dua daerah itu baru baru ini.

Kementerian menerusi Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah juga akan mengambil inisiatif untuk mengenal pasti mana-mana etnik yang mungkin sudah atau semakin pupus di negeri ini tetapi kaya dengan budaya serta adat tradisi yang berpotensi untuk diketengahkan sebagai produk pelancongan berasaskan warisan.

“Kira-kira 30 persatuan etnik hadir dalam sesi libat urus termasuk persatuan Cocos Sabah, Persatuan Banjar Tawau, Persatuan Seni Budaya Idaan Segama, Persatuan Komuniti Tidung Sabah dan banyak lagi.

“Beberapa perancangan masa hadapan yang turut dibincangkan adalah inisiatif untuk memperkasa produk pelancongan menerusi kebudayaan, penganjuran Hari Etnik peringkat negeri Sabah, serta pembinaan dewan budaya dan galeri di daerah Lahad Datu,” tambahnya.

Jelas Jafry, usaha itu bukan saja dapat mengekalkan kesenian tradisi, budaya dan warisan tetapi juga mampu beri impak kepada ekonomi masyarakat setempat.