Lebih 60 Penduduk Kampung Waang Hadiri Program Merdeka @ Komuniti

Lebih 60 Penduduk Kampung Waang Hadiri Program Merdeka @ Komuniti

0
SHARE

RANAU, SABAH – Lebih 60 penduduk kampung Waang telah menghadiri Program Merdeka @ Komuniti sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang dianjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Daerah Ranau.

Rata-rata program tersebut mendapat sambutan hangat daripada kalangan penduduk kampung termasuk golongan remaja serta kanak-kanak dan ada dalam kalangan mereka yang meminta agar ia diteruskan pada masa akan datang.

Seorang peserta program itu, Ivy Selvyia Michael, berkata program seumpama ini perlu diteruskan pada masa akan datang kerana ia selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Pada pendapat saya, program ini bukan sahaja telah memberi kesedaran kepada orang kampung tentang maksud sebenar kemerdekaan, malah secara tidak langsung telah menyatupadukan penduduk kampung ini dari aspek kerjasama untuk menjayakan program ini,” kata Ivy yang juga merupakan Penyelaras Kepenggunaan Parlimen Ranau.

Oleh itu, katanya secara keseluruhannya, penganjuran program ini sangat cemerlang kerana telah melibatkan semua penduduk Kg. Waang.

Seorang lagi peserta, Timbalan Pengerusi Komuniti Keluarga Malaysia (KKM) Kg. Waang, Carlesie Lubin, pula berkata program Merdeka @ Komuniti ini berjaya dilaksanakan dengan cemerlang.

“Mereka juga mengadakan aktiviti untuk taman didikan kanak-kanak (tadika) dan aktiviti cabutan bertuah untuk penduduk.

“Aktiviti penyerahan bendera, nyanyian lagu kebangsaan, negeri dan lagu tema bulan kebangsaan, turut diadakan.

“Program diakhiri dengan acara bergambar dan jamuan ringan oleh JaPen. Saya melihat susun atur program ini dijalankan dengan begitu cemerlang,” katanya.

Menurut Pegawai JaPen Ranau, Kenny Thomas, Kg. Waang menjadi lokasi pertama pelaksanaan program Merdeka @ Komuniti di daerah Ranau.

Katanya, program tersebut diadakan bertujuan untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan pada kali ini.

“Program Merdeka @ Komuniti di Kg. Waang ini dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kg. Waang yang dipengerusikan oleh Ajilee Lubin dan Pengerusi KKM, Romzi,” ujarnya.

Program tersebut dirasmikan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Karanaan, Rosdi Abdul Ghani.

Turut hadir, Pembantu Pegawai Pembangunan Masyarakat (CDO), Haji Suhaimi Manjun.