SABAH MULAKAN USAHA KAWAL SELIA SENDIRI BEKALAN ELEKTRIK DAN GAS, DAPATKAN SEMULA...

SABAH MULAKAN USAHA KAWAL SELIA SENDIRI BEKALAN ELEKTRIK DAN GAS, DAPATKAN SEMULA SESB

0
SHARE
Hajiji mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma Sumber Asli di Putrajaya kelmarin...

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji memulakan rancangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah dan mengambil alih Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Ketua Menteri mempengerusikan bersama siri mesyuarat jawatankuasa berkuasa tinggi dengan Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed di Wisma Sumber Asli di Putrajaya dan Kuala Lumpur kelmarin.

Semasa mesyuarat pertama jawatankuasa pemandu mengenai penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik dan SESB kepada Kerajaan Negeri, telah dipersetujui bahawa KeTSA akan membawa rancangan Kerajaan Negeri Sabah untuk mengambil alih SESB dalam dua peringkat kepada Kabinet Persekutuan.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri terlebih dahulu perlu menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah sendiri supaya kuasa kawal selia bekalan elektrik boleh dipindahkan daripada Kerajaan Persekutuan ke Sabah.

Selepas itu, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri menjangka untuk mengambil semula SESB dengan liabiliti sifar sebaik Pelan Transformasi SESB disiapkan dalam tempoh lima hingga tujuh tahun dari sekarang…

“Justeru, penyelarasan dan kerjasama daripada semua amat diperlukan bagi memastikan proses perundangan dilaksanakan dengan lancar,” kata Hajiji.

Sementara itu, Ketua Menteri turut membincangkan cadangan program dan projek yang akan dilaksanakan di Sabah di bawah Pelan Pembangunan Penjanaan Bekalan Kuasa Sabah (2022-2041).

Beliau berkata, Kerajaan Negeri mencadangkan projek Loji Janakuasa Kitaran Gabungan 100 Megawatt, yang telah ditender, dibina di Kimanis, yang mempunyai sumber gas mencukupi yang sedia ada.

Kerajaan Negeri turut menyokong permohonan Hidro Sabah Baharu bagi cadangan pembangunan Loji Hidroelektrik 170 Megawatt Konsep “Run of River” di Sungai Maligan dan Ulu Sungai Padas, Sipitang, yang telah dibentangkan dan diluluskan oleh Kabinet Sabah.

Hajiji, yang juga Menteri Kewangan Negeri berkata, cadangan projek Gas Timur Baharu 135 Megawatt perlu dihentikan sekiranya tarif tidak berdaya saing dan projek Southern Link Distribution mesti dilaksanakan sebagai satu pakej dan bukan secara berfasa melalui pembiayaan terus di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 menjelang 2027.

“Kerajaan Negeri juga mencadangkan agar Kerajaan Persekutuan menghentikan Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) kerana ketiadaan bekalan gas dan sebaliknya kontraktor yang telah dibayar untuk projek itu melaksanakan projek Southern Link,” katanya.

Hajiji juga mahu pelaksanaan projek menaik taraf grid agihan kuasa dari Segaliud (Sandakan) ke Dam Road (Lahad Datu) dan Mengalong (Sipitang) ke Lawas, Sarawak disegerakan.

Kerajaan Negeri turut meminta harga gas di loji janakuasa bebas (IPP) sedia ada dikekalkan pada kadar minimum RM6.40 bagi setiap Metric Million British Thermal Unit (MMBtu) sehingga tamat tempoh konsesi bagi mengelak peningkatan mendadak pada kos operasi yang akan memberi kesan secara langsung kepada tarif elektrik Sabah, katanya.

Suruhanjaya Tenaga juga digesa mempercepatkan kelulusan lesen projek bekalan elektrik bagi Kilang Kaca Kibing di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

Kemudian, Hajiji turut mempengerusikan bersama mesyuarat jawatankuasa pemandu mengenai penyerahan pengurusan dan kawalan sumber gas Sabah bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed di Grand Millenium di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, langkah Kerajaan Negeri mengambil alih pengurusan dan kawalan bekalan gas di Sabah adalah selaras dengan pelbagai inisiatif berkaitan yang telah dirancang dan dilaksanakan di negeri itu.

“Ia akan membolehkan kami terlibat secara langsung dalam aktiviti industri minyak dan gas untuk kepentingan Sabah dan rakyat,” katanya…

“Kerajaan Negeri Sabah komited untuk memastikan industri gas di Sabah akan terus dibangunkan melalui dasar berkaitan tanpa menjejaskan keselamatan dan kecekapan perkhidmatan kepada pengguna serta memastikan tiada gangguan dalam operasi dalam tempoh peralihan,” katanya.

Mengiringi Ketua Menteri ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr. Haji Safar Untong, Ketua Pegawai Eksekutif Unit Tenaga Sabah, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, Peguam Negeri, Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri, Datuk (Datu) Rosmadi Datu Sulai dan Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Mohd. Sofian Alfian Nair.