SINGAPURA – Sebuah portal berita atas talian (online) Singapura yang sering mengkritik pemerintah (kerajaan) dibatalkan lesennya semalam kerana gagal mengisytiharkan sumber dana.
Walau bagaimanapun, Ketua Pengarang The Online Citizen (TOC) iaitu Terry Xu, membantah tindakan itu dan menyifatkannya satu gangguan dan ugutan terhadap kebebasan media.
TOC sudah lama tidak senada dengan pihak berkuasa kerana menerbitkan berita yang lebih kritikal terhadap pemerintah berbanding media arus perdana yang pro-pemerintah.
Menurut laporan AFP, lesen TOC digantung bulan lalu oleh Pihak berkuasa Pembangunan Infokom Media Singapura (IMDA), yang sebelum itu meminta laman sesawang berkenaan mematuhi syarat dengan mendedahkan sumber dananya.
IMDA memberitahu, laman sesawang itu berulang kali menolak untuk mematuhinya biarpun ada peringatan berterusan untuk membatalkannya lesen dengan serta-merta.
Pihak berkuasa itu memberitahu, mana-mana laman sesawang berdaftar yang terbabit dalam promosi atas talian atau perbincangan mengenai isu politik berkaitan Singapura mesti mendedahkan sumber dana bagi mengelak campur tangan asing.
Terry memberitahu pihaknya enggan mematuhi syarat itu kerana ia akan mendedahkan identiti pelanggannya.

“Kami tidak dapat mengkhianati kepercayaan dan kerahsiaan pelanggan hanya untuk meneruskan operasi kami,” katanya.
Beliau menyifatkan langkah IMDA tidak lebih daripada gangguan dan ugutan kepada kebebasan media di Singapura.
Bulan lalu, Terry Xu dan seorang penulis TOC diperintah membayar ganti rugi selepas kalah dalam saman fitnah difailkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.
Parlimen Singapura awal bulan ini turut meluluskan undang-undang bertujuan mencegah campur tangan asing dalam politik tempatan, namun dikritik pembangkang dan aktivis, yang menyifatkannya sebagai alat menyekat perbezaan pendapat.
Undang-undang itu akan membolehkan pihak berkuasa meminta penyedia perkhidmatan internet dan pentas media sosial untuk memberikan maklumat penggunanya, menyekat kandungan dan membuang aplikasi yang digunakan untuk menyebarkan kandungan dianggap bertentangan.